NILAI, 30 Januari 2020 – Ke arah generasi cergas dan sihat, universiti kini bukan sahaja sebagai medium pencarian ilmu bahkan digalakkan mahasiswa menceburkan diri dalam aktiviti dan program kesukanan kerana ia dapat membentuk individu membudayakan sukan sebagai gaya hidup. Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) tidak melepaskan peluang untuk menyertai Kejohanan MASUM yang akan berlangsung tidak lama lagi. Penyerahan Bendera kepada para kontinjen yang melibatkan seramai 90 atlet telah disempurnakan oleh Prof. Madya Dr. Rushdan Mohd Jailani bertempat di Kompleks Sukan Tunku Najihah, USIM.

Kejohanan MASUM acara tahunan anjuran bersama Kementerian Pendidikan Malaysia (Bahagian Sukan) ini terbahagi kepada Fasa 1 dan Fasa 2, di mana Fasa 1 akan bermula pada 1 Februari hingga 6 Februari 2020 di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Arau dan MASUM Fasa 2 pula akan bermula pada 21 hingga 27 Julai 2020 di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam.

Sebanyak 7 permainan yang akan dipertandingkan iaitu badminton, bola keranjang, silat, ping pong, catur, tenis  dan sepak takraw.

“USIM sentiasa memberikan sokongan dan galakan kepada warga USIM untuk menyertai aktiviti sukan bagi melahirkan bakat baru sebagai bakal atlet yang berpotensi untuk mewakili USIM di kejohanan sukan di peringkat yang lebih tinggi serta menggalakkan peningkatan tahap kesihatan dan kecergasan fizikal”.

Jelas Prof Rushdan lagi, penglibatan pelajar merupakan suatu yang penting dalam membina budaya hidup sihat dan cergas yang member impak yang positif kepada Universiti dalam tempoh jangka panjang disamping memupuk budaya “USIM CERGAS DAN CERDAS” selain daripada semangat kerja berpasukan serta integrasi antara jantina dan setiakawan yang sihat.

“Melalui usaha ini juga dapat menonjolkan imej USIM sebagai IPTA yang aktif dalam kegiatan berasaskan sukan dan rekreasi .Semoga kejohanan ini mampu membawa imej yang positif terhadap perkembangan aktiviti luar bidang akademik”, tambah beliau lagi.

Pencapaian MASUM tahun lepas, USIM telah merangkul 1 emas dari taekwondo, 1 perak dan 2 gangsa dari acara silat, 1 gangsa dari olahraga dan 1 gangsa dari ping pong. Kesemuanya adalah 1 emas, 1 perak dan 4 gangsa.

 

Disediakan oleh:
Noorumaina Mohamed Yunus
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan