MAKASSAR, 9 Februari- Seramai 20 orang ahli Kelab Pembimbing Rakan Universiti (PRU) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) bersama seorang Pegawai Pengiring dari Unit Psikologi Kaunseling dan Kerjaya di Bahagian Hal Ehwal Pelajar Universiti sains Islam Malaysia (USIM) telah menjayakan misi libatsama masyarakat di peringkat global melalui pengembaraan Global Islamic Student Outreach (GISO). Dengan bertemakan ‘Merentas Samudera Mencari Permata’ kesemua peserta memulakan pengembaraan selama 6 hari bermula 4 hingga 9 Februari 2015 dengan memilih Makassar sebagai destinasi dalam pengembaraan kali ini.

Pengembaraan USIM GISO bagi Kelab Pembimbing Rakan Universiti USIM ini bertujuan memberi pendedahan sebenar kepada mahasiswa tentang pelaksanaan aktiviti libatsama masyarakat ataupun knowledge transfer yang berimpak tinggi di peringkat antarabangsa. Bertemu pelbagai lapisan masyarakat di beberapa daerah sekitar Makassar memberi pengalaman baru yang tidak ternilai bagi kesemua peserta serta memupuk rasa cintakan tanahair sendiri serta semangat yang berkobar-kobar untuk mengangkat nama Universiti Sains Islam Malaysia ke mercu dunia melalui pendekatan kaunseling dan psikologi.

Bertemu dalam Dialog siswa bersama mahasiswa dari  Universiti Hasanuddin (UNHAS) merupakan pembuka tirai pengembaraan ini dan misi diteruskan dengan program mendekati anak-anak di Yayasan Al-Islami Center, Panti Asuhan At-Tin, Perkampungan Kelurahan Pattapang, Malino dan Perkampungan Ramang-Ramang. Tidak hanya mendekati dan beramah mesra dengan penduduk di sana malah mahasiswa USIM turut menyumbang kepakaran melalui aktiviti pembelajaran Bahasa Inggeris, Smart Tajwid, gaya hidup sihat dan Terapi Seni. Turut tidak ketinggalan apabila penduduk Kampung Pattapang yang menjalankan aktiviti pertanian sebagai kegiatan utama seharian mereka turut berkongsi dan memberi peluang kepada mahasiswa USIM untuk mempelajari proses penanaman buah Strawberry dan Avocado.

Kesemua pengalaman dan aktiviti yang dijalankan benar-benar memberi sejuta pengalaman yang tidak terhingga nilainya kepada semua peserta dari Kelab PRU USIM apabila permata yang dicari melalui pengembaraan ini telah berjaya ditemui melalui perkongsian ilmu melalui misi GISO ini.

Secara keseluruhan, pengembaraan GISO ini memberi kami pendedahan dalam menyelusuri softskill baru untuk ahli kelab. Kami bukan hanya menjalankan program di kawasan USIM dan sekitarnya malah boleh merentas dunia menyebar ilmu dengan cara tersendiri iaitu dengan mengangkat konsep pendekatan bimbinganbimbingan psikologi dan kaunseling.

”Ini adalah permata yang kami cari kerana kami bukan sahaja mempelajari budaya masyarakat di sana tapi nilai ukhwah antara ahli kelab dan masyarakat di sana,” ujar Azwan Ali, Pengarah Program GISO kali ini.

Disediakan oleh :

Nur Farhana Sulaiman, Pegawai Psikologi

Unit Psikologi, Kaunseling dan Kerjaya

Bahagian Hal Ehwal Pelajar

Dikemaskini oleh:

PUSAT KOMUNIKASI STRATEGIK (STRACOMM)