USIM, Kedutaan Amerika anjur Bengkel Penulisan Naratif

USIM, Kedutaan Amerika anjur Bengkel Penulisan Naratif

Nilai, 8 Januari 2019 – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dengan kerjasama dari Kedutaan Amerika mengambil inisiatif untuk menganjurkan bengkel penulisan naratif sebagai alternatif yang baharu dalam menjadikan maklumat penting menarik dibaca dan relevan.

Bengkel yang dikendalikan oleh Prof. Madya Dr. Janet Steele dari George Washington University ini berjaya menarik minat lebih 30 peserta dari lima pusat pengajian tinggi iaitu USIM, UPM, UM, Politeknik Nilai dan UTEM yang melibatkan pensyarah dan pelajar pasca siswazah dari pelbagai bidang seperti komunikasi, pengajian bahasa Arab dan bahasa Inggeris, pengajian Islam, ekonomi dan kejuruteraan. Bengkel ini berlangsung di Jabatan Perpustakaan USIM

Menurut Steele, untuk mencapai penulisan berbentuk naratif yang mempunyai makna lebih mendalam serta menarik dari segi olahan dan gaya bahasa.

“Ini menjadikan penulisan bukan sekadar lebih menarik dibaca, tetapi meningkatkan kepercayaan pembaca terhadap media kerana mendapat maklumat yang berkualiti serta membuatkan pembaca tidak mahu berhenti membaca sungguhpun hasil penulisan itu lebih panjang dari berita biasa”, kata Steele.

Menurutnya lagi, penulisan akademik terutamanya bagi jurnal dan buku penyelidikan tidak semestinya perlu bersifat mendatar atau di persembahkan secara kronologi mengikut tradisi penulisan saintifik. Sebaliknya pengolahan penceritaan menggunakan teknik penulisan naratif boleh menjadikan penulisan akademik lebih menarik tanpa mengurangkan nilai kesarjanaan.

Dalam menghasilkan penulisan naratif ini, Steele berkongsi empat tips utama penghasilannya:

Penulis perlu fikirkan “enjin” dan “maksud” penulisan yang dihasilkan. Maksud ialah makna yang ingin disampaikan dalam penulisan dan enjin pula bermaksud unsur yang boleh membuatkan pembaca tertanya-tanya, tertarik untuk membaca lagi dan mencabar sifat ingin tahu.

“Banyak penulisan mempunyai makna, tetapi tidak mempunyai enjin, maka penulisan selalunya menjadi agak membosankan kepada pembaca”, katanya.

Kedua, penulis perlu berfikir seperti penulis skrip. Ini bermaksud, kata Steele, penulis perlu berfikir dalam kaedah menghasilkan filem iaitu babak demi babak serta watak yang diketengahkan dalam penulisan. Ini menjadikan penulisan tersusun dan jelas.

Walaupun realitinya setiap peristiwa berlangsung secara kronologi, menurut Steele,  penulis perlu bijak memilih babak yang mana yang lebih sesuai di ketengahkan dahulu di awal penulisan. Ini akan bertindak sebagai ‘hook’ yang mampu menarik pembaca untuk terus membaca naskah tersebut.

Di samping itu, watak yang baik untuk dijadikan watak utama dalam penulisan ialah seseorang yang tidak sempurna tetapi telah menempuh pelbagai rintangan hidup dan pengalaman dan akhirnya menjadi seorang individu yang matang dan lebih baik dari sebelumnya.

“Individu seperti inilah memberi “enjin” kepada seluruh penulisan dan menghidupkan karya,” tambah Steele lagi.

Ketiga, wujudkan suspen dalam penulisan. Cara terbaik menurut Steele ialah menulis babak penting secara perlahan manakala babak yang tidak begitu penting dengan lebih laju agar tidak membuatkan pembaca bosan dan meninggalkan bahan bacaan.

Keempat, Steele juga menegaskan agar penulis memastikan setiap ayat yang ditulis adalah relevan dengan keseluruhan cerita, telah difikirkan semasak-masaknya, perkataan yang paling tepat digunakan serta mempunyai aliran cerita yang tersusun.

Akhir sekali, penulis perlu memastikan mereka menulis sesuatu yang mereka sukai. Pesan Steele, jangan menulis sesuatu hanya kerana ia perlu ditulis, tetapi menulislah dengan perasaan dan jiwa, agar penulisan itu lahir dari hati.

Kata Steele, perbezaan latar belakang dan kepakaran tidak menjejaskan aplikasi penulisan naratif kerana ia boleh digunakan dalam semua jenis penulisan tidak kira penulisan media mahupun penulisan ilmiah.

Para peserta turut bersetuju dengan Steele, tentang potensi tinggi penggunaan teknik penulisan naratif yang telah mereka pelajari di dalam bengkel untuk diaplikasikan di dalam penulisan mereka kelak. Antaranya ahli akdemik yang juga kolumnis akhbar tempatan, serta ahli akademik dari bidang sejarah dan kejuruteraan.

Menurut salah seorang ahli jawatankuasa pengelola bengkel tersebut, Dr Habibah Ismail, selain membantu meningkatkan kreativiti dan gaya penulisan, kemahiran yang di pelajari di dalam bengkel ini dapat membantu pensyarah menambah baik kandungan pengajaran bagi subjek-subjek seperti penulisan akademik dan penulisan kreatif.

Katanya lagi, acapkali bahan bacaan bagi subjek penulisan akademik adalah terlalu berat dengan fakta menjadikan pelajar bosan apabila beranggapan mereka akan terikat dengan struktur tersebut. Melihat penulisan akademik dengan teknik penulisan naratif yang lebih kreatif dan segar, ini sedikit sebanyak dapat mengubah perspektif tersebut.

Dr Siti Suriani Othman, pengasas dan presiden USIM Writers’ Pool (UWP) berkata pendedahan seperti ini diperlukan oleh pensyarah untuk meluaskan pandangan mereka tentang gaya penulisan.

“Tidak semestinya penulisan ilmiah perlu membosankan,” katanya.

Maka peluang seperti ini perlu dilihat sebagai pendekatan baharu yang perlu bagi akademia yang perlu bertarung untuk menerbitkan penulisan mereka dalam bentuk akademik atau penulisan popular”.

Jika pensyarah tidak memahirkan diri dengan pendekatan yang lebih moden, maka tidak mustahil mereka akan ketinggalan dan hanya menulis untuk kenaikan pangkat dan bukan untuk memasyarakatkan ilmu, tambah Siti Suriani lagi.

Program ini dianjurkan oleh Kedutaan Amerika dan USIM Writers’ Pool (UWP).

 

Disediakan oleh:
Pensyarah
Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan (FKP)

Dikemaskini oleh:
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan
Tel : 06-798 8026/78629/78620 Faks : 06-798 8032

 

 

 

By | 2019-01-09T13:08:33+00:00 يناير 9th, 2019|Campus News, Featured Campus News, Highlights News, News|0 Comments

About the Author: