Dalam dunia yang dilingkari dengan kemajuan sains dan teknologi yang tidak pernah menemui titik noktah dalam perkembangannya, kita acapkali tersentak apabila dikejutkan isu pengabaian amalan pemakanan yang seimbang dalam kalangan masyarakat di negara kita khususnya golongan pelajarPemakanan yang baik mula mempengaruhi kesihatan tubuh badan sejak daripada kecil lagi.

Pemakanan memainkan peranan penting dalam mengekalkan kesihatan dan mencegah penyakit.Masalah kesihatan di dunia kini mengalami revolusi.

Jika dahulu kebanyakan masyarakat mengalami masalah kekurangan zat galian dan vitamin tetapi hakikat hari ini telah berubah di mana masyarakat mengalami masalah kesihatan disebabkan terlebih makan dan seterusnya berlanjutan kepada masalah lebihan kolesterol, lebihan gula dan kegemukan.

Hampir 350 juta orang dewasa di seluruh dunia dilaporkan menghidap diabetes, iaitu dua kali ganda sejak 1980, berdasarkan satu kajian diterbitkan dalam jurnal perubatan The Lancet bertarikh 25 Jun 2011.

Di Malaysia pula, menurut kaji selidik Kesihatan dan Morbiditi Nasional (NHMS) menunjukkan kira-kira 2.6 juta penduduk Malaysia menghidap diabetes tahun lalu. Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Seri Dr Hasan Abdul Rahman, menurutnya, perangkaan daripada NHMS menunjukkan pesakit diabetes di Malaysia meningkat 31 peratus dalam lima tahun berbanding peningkatan 11.6 peratus pada 2006 bagi setiap orang dewasa Malaysia berumur 18 tahun dan ke atas.

Menurutnya lagi, antara faktor yang menyumbang peningkatan jumlah penghidap diabetes dalam kalangan penduduk Malaysia termasuk berat badan berlebihan, genetik, gaya hidup dan diet tidak sihat, meminum alkohol, merokok dan tidak menjalani pemeriksaan perubatan secara tetap.

Pelajar atau remaja terdedah kepada bahaya akibat budaya pemakanan tidak sihat dan pastinya mengancam kesihatan, bahkan memberi kesan kepada pemikiran pelajar. Gizi yang tidak seimbang boleh menyebab pelbagai masalah kesihatan.

Seseorang yang mengambil gizi yang tidak seimbang untuk suatu tempoh yang lama akan mengalami malnutrisi. Malnutrisi ditakrifkan sebagai kekurangan nutrien tertentu dalam makanan.

Malnutrisi menyebabkan pelbagai penyakit seperti anemia, kwasyiorkor, skurvi, dan riket. Selain itu, kekurangan vitamin dan garam mineral juga menimbulkan pelbagai kesan dan penyakit.

Selain daripada itu, amalan gaya hidup moden merupakan salah satu faktor yang menunjangi masalah ini. Pada zaman millennia yang serba canggih dan pantas kini, semua orang terlalu sibuk dengan hal dan kerjaya masing-masing hingga mengabaikan pengambilan pemakanan seimbang dalam kehidupan seharian mereka.

Mereka lebih gemar mengambil makanan segera dan tidak berkhasiat seperti mi segera, minuman berkarbonat, burger dan sebagainya.

Saintis di seluruh dunia mendapati bahawa makanan tersebut tidak dapat menampung keperluan zat yang diperlukan oleh badan.

Panduan piramid makanan membantu dalam memilih diet yang seimbang. Makanan diletakkan pada aras yang berbeza di dalam piramid makanan berdasarkan kepada nilai nutrien utama (Kementerian Kesihatan Malaysia, 2011). Makanan dengan nilai nutrien tertinggi diletakkan di dasar piramid makanan, manakala makanan yang mempunyai nilai nutrien terendah diletakkan pada puncak piramid makanan.

Jumlah amaun makanan yang dibenarkan adalah berbeza di antara individu. Oleh itu pemilihan makanan harus mengikut bahagian yang dinyatakan dalam panduan piramid makanan (Kementerian Kesihatan Malaysia, 2011). Jenis makanan harus dipilih dari setiap aras piramid mengikut turutan, pilihan terbaik dan perlu dimakan paling banyak adalah daripada aras satu atau dasar piramid, dan makanan dari aras puncak piramid makanan perlu diambil dengan kadar paling sedikit (Kementerian Kesihatan Malaysia, 2011).

Panduan Diet Malaysia menekankan pengambilan pelbagai jenis makanan berasaskan Piramid Makanan Malaysia. Pelbagai jenis makanan membekalkan nutrien-nutrien berbeza yang diperlukan oleh tubuh. Tiada satu pun jenis makanan dapat memberi kesemua tenaga, nutrien dan komponen makanan yang kita perlukan.

Oleh itu, sekiranya merancang, pastikan pemakanan terdiri daripada pelbagai jenis makanan untuk memenuhi sebahagian daripada keperluan harian. Selain daripada pelajar juga diharapkan dapat memberi panduan kepada ibu bapa untuk menyediakan makanan yang seimbang kepada keluarga dan anak-anak dan dapat mendidik anak-anak dari rumah cara pemakanan yang sihat dan dengan didikan awal dari rumah ini diharapkan dapat diaplikasikan apabila berada di luar rumah terutamanya di sekolah dan universiti.

Oleh :
Pusat Kesihatan
Universiti Sains Islam Malaysia