Pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) merupakan satu detik penting dalam sejarah pendidikan tinggi negara. Tindakan ini bukanlah noktah kepada reformasi pendidikan tinggi negara sebaliknya, merupakan titik mula untuk membina semula sistem sedia ada melalui satu kerangka perundangan yang lebih menyeluruh, progresif dan berorientasikan autonomi serta akauntabiliti demi memenuhi keperluan masa hadapan. Tambahan pula, pemansuhan ini tidak wajar dilihat sebagai kejayaan memenuhi tuntutan mahasiswa semata-mata yang sekian lama memperjuangkan kebebasan akademik, kebebasan bersuara dan autonomi kampus. Dalam jangka masa panjang tindakan pemansuhan ini sebaliknya selari dengan perancangan reformasi pendidikan tinggi yang telah dirangka oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menerusi Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026-2035.
RPTM 2026-2035 merupakan pelan hala tuju pendidikan tinggi negara untuk tempoh sedekad dan dirangka sebagai dokumen inklusif serta responsif terhadap perubahan global seiring dengan kemajuan teknologi. Antara matlamatnya adalah untuk membangunkan sistem pendidikan tinggi negara yang adaptif, terangkum dan berdaya tahan. Malahan, dalam konteks tadbir urus, RPTM telah mencadangkan One Higher Education Act (OHEA) bagi tujuan menyatukan dan mengharmonikan perundangan berkaitan pendidikan tinggi sedia ada.
Justeru, pemansuhan AUKU wajar menjadi pemangkin kepada pembentukan satu kerangka perundangan pendidikan tinggi yang lebih menyeluruh dan bersepadu melalui OHEA selaras dengan aspirasi reformasi sistem pendidikan tinggi negara. Pemansuhan ini juga merupakan momentum penting untuk merangka semula sistem pendidikan tinggi di Malaysia agar lebih responsif terhadap perubahan dan keperluan pada masa hadapan. Persoalannya, apakah kandungan OHEA yang mampu membina sistem pendidikan tinggi negara untuk tempoh 20 atau 30 tahun akan datang?
One Higher Education Act (OHEA) bukan bermaksud One-Size-Fits-All.
OHEA perlu difahami sebagai satu kerangka perundangan yang bakal menyatukan keseluruhan ekosistem pendidikan negara, bukannya menyeragamkan semua institusi. OHEA tidak sepatutnya menjadi AUKU 2.0. Harus diberi perhatian, jika peruntukan lama hanya dipindahkan ke dalam akta baharu dengan sedikit pengubahsuaian bahasa maka reformasi yang berlaku hanyalah pertukaran nama dan bukannya perubahan sistem seperti yang sepatutnya.
Justeru, OHEA perlu menjadi akta induk yang menyusun semula seni bina pendidikan tinggi negara. Malaysia mempunyai universiti awam (UA), institusi pendidikan tinggi nasional dan khusus, institusi pendidikan tinggi swasta, politeknik dan kolej komuniti (POLYCC). Setiap institusi ini mempunyai sejarah, fungsi, mandat, model pembiayaan dan misi yang berbeza. Oleh itu, penyatuan melalui OHEA tidak bermaksud semua institusi perlu diseragamkan. Sebaliknya, OHEA perlu melihat institusi ini sebagai sebahagian daripada satu ekosistem pendidikan tinggi nasional melalui satu kerangka nasional yang menetapkan prinsip, hak, standard kualiti dan akauntabiliti yang dikongsi bersama, Pada masa yang sama, struktur tadbir urus, autonomi dan pelaksanaan perlu disesuaikan mengikut mandat serta misi setiap institusi berdasarkan fungsi dan kekuatan masing-masing. Setiap institusi mempunyai misi yang berbeza tetapi nilai yang setara dalam sistem pendidikan tinggi nasional. Oleh itu, perkara yang perlu disatukan ialah prinsip, standard dan hak asas manakala autonomi dan misi institusi masih kekal dan perlu dibezakan berdasarkan fungsi masing-masing. Pendekatan ini juga selari dengan aspirasi RPTM untuk membina satu sistem tadbir urus yang lebih harmoni, memberi ruang kepada institusi beroperasi secara lebih autonomi di samping memperkukuh mekanisme akauntabiliti. Inilah yang sepatutnya menjadi roh kepada One Higher Education Act (OHEA). Secara asasnya, kita tidak memerlukan sekadar AUKU 2.0 tetapi kita memerlukan Pendidikan Tinggi Malaysia 2.0.
Kerangka baharu perlu melihat bagaimana Universiti Awam (UA), Institusi Pendidikan Tinggi Nasional (IPTN), Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS), politeknik dan kolej komuniti (POLYCC) sebagai sebahagian daripada satu ekosistem pendidikan tinggi nasional. Namun penyatuan tidak bermaksud semua institusi perlu menjadi sama. Sebaliknya UA terus memainkan peranan dalam pendidikan, penyelidikan, inovasi dan pembangunan negara. IPTN pula boleh memainkan mandat dan peranan strategik serta khusus berdasarkan keperluan nasional. IPTS menjadi pemangkin kepelbagaian, inovasi, hubungan industri dan berdaya saing manakala POLYCC perlu terus diperkasa sebagai komponen strategik pendidikan tinggi dan TVET negara. Pendekatan ini penting supaya pendidikan tinggi negara tidak lagi dilihat dalam bentuk hiearki iaitu universiti sebagai laluan utama dan TVET sebagai laluan alternatif. Sebaliknya, kedua-duanya merupakan komponen yang saling melengkapi dalam menerajui pembangunan bakat negara.
Daripada AUKU kepada reformasi pendidikan negara
Pemansuhan AUKU tidak seharusnya dilihat sebagai kemenangan dan kekalahan mana-mana pihak tetapi perlu dilihat sebagai peluang nasional. Reformasi pasca-AUKU tidak boleh hanya tertumpu kepada mahasiswa tetapi turut merangkumi universiti sebagai satu komuniti ilmu yang terdiri daripada mahasiswa, ahli akademik, penyelidik dan warga profesional. Maka OHEA perlu memberi perlindungan dan ruang kepada ahli akademik untuk bertanya, mencabar idea, menghasilkan ilmu dan menerbitkan penyelidikan tanpa campur tangan yang tidak wajar. Universiti juga perlu diberi ruang untuk membuat keputusan berkaitan akademik, penyelidikan, pembangunan bakat dan sumber, pengurusan dan inovasi. Pada masa yang sama, universiti perlu bertanggungjawab terhadap kualiti pendidikan, penggunaan dana awam, kebajikan mahasiswa, integriti penyelidikan dan sejauh mana impak kepada masyarakat. Yang paling penting tidak seharusnya wujud elemen pengurusan mikro (micromanagement) terhadap universiti. Pihak kerajaan perlu berperanan sebagai peneraju dan pemegang amanah sistem pendidikan tinggi negara yang menentukan hala tuju strategik, standard dan kepentingan nasional manakala institusi diberikan ruang untuk menentukan bagaimana misi tersebut dapat dicapai.
Pemansuhan AUKU telah membuka lembaran baharu dalam reformasi pendidikan tinggi negara dengan OHEA berpotensi menjadi payung perundangan yang mengharmonikan keseluruhan ekosistem pendidikan tinggi melalui prinsip bersama, ruang autonomi institusi dan mekanisme akauntabiliti yang jelas. Kerangka ini juga perlu melindungi kebebasan akademik dan warga institusi di samping memastikan setiap institusi melaksanakan tanggungjawab berdasarkan mandat serta misi masing-masing.Justeru, OHEA bukan sahaja perlu responsif terhadap keperluan pendidikan tinggi semasa, tetapi juga berupaya mendepani perubahan dan cabaran Malaysia sehingga 2035 dan seterusnya.
Cabaran sebenar kini ialah memastikan kita tidak sekadar menukar nama pintu tersebut, tetapi membina sebuah ‘rumah’ pendidikan tinggi yang lebih terbuka, adil, berautonomi, berintegriti dan bersedia untuk masa hadapan. Ringkasnya, yang disatukan ialah kerangka, yang dibezakan ialah misi, yang akan dikongsi ialah akauntabiliti dan yang diberikan ialah autonomi.
