Nur Soffiah Faqiehah Ahmad Bukhori
Nur Soffiah Faqiehah Ahmad BukhoriMahasiswa, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan

Pendigitalan yang begitu pesat pada hari ini terutama di media sosial membuatkan sempadan antara ruang peribadi dan awam menjadi semakin samar. Setiap hantaran yang dimuat naik di media sosial terus menjadi tatapan khalayak ramai tanpa mengira tempat dan masa. Perkara ini sememangnya memberi ruang yang luas kepada masyarakat untuk menyebarkan kebaikan. Namun begitu, keadaan bertukar menjadi satu fenomena yang membimbangkan apabila wujudnya satu budaya menegur secara terbuka yang kerap kali terbabas sehingga wujudnya pembunuhan karakter.

Kita sering kali menyaksikan niat asal yang kononnya adalah untuk memperbaiki kesalahan akhirnya membuka ruang kepada wujudnya pentas cacian dan kecaman. Segelintir warganet merasakan seolah-olah berhak untuk menghakimi dan menelanjangkan aib sesama insan atas dasar untuk membawa ke arah kebaikan dan mencegah kepada yang mungkar. Namun yang menjadi persoalan adalah adakah pendekatan itu yang diajarkan oleh Islam atau sekadar pemuasan emosi yang dibalut dengan nama agama?

Justeru dalam Surah An-Nahl ayat 125 telah menggariskan panduan kepada kita dalam menyampaikan kebaikan:

“Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalanNya, dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk.”

Kesantunan bahasa memainkan peranan sebagai medium yang kritikal dalam memberi teguran kepada sesiapa sahaja terutama di media sosial. Teguran yang kasar bukan sahaja boleh meruntuhkan harga diri, tetapi boleh meninggalkan kesan psikologi yang mendalam kepada mangsa. Da’wah yang berkesan haruslah disampaikan dengan hikmah dan pendekatan yang mudah difahami oleh penerima.

Di sinilah terletakknya kepentingan untuk berlaku ikhlas dan empati. Teguran yang lahir dari hati yang ikhlas adalah untuk melihat insan lain menjadi lebih baik, bukan untuk membuktikan siapa yang lebih alim atau betul. Sebaliknya, penggunaan kata-kata yang kasar akan mencerminkan moraliti serta budaya yang kurang baik yang boleh menyebabkan seseorang individu kehilangan kredibiliti. Malah, ia boleh meningkatkan lagi risiko untuk tercetusnya perbalahan kerana pihak yang ditegur secara tidak santun akan merasa dizalimi dan ditindas.

Alam maya adalah cermin kepada budi pekerti masyarakat kita. Islam juga berkembang dengan keindahan akhlak, bukan caci maki. Budaya menegur kesilapan orang lain adalah sebahagian daripada proses pembetulan, namun ia harus dilakukan secara beretika dan penuh penghormatan supaya kita dapat hidup dalam komuniti yang lebih beradab, harmoni dan bermoral tinggi. Sudah tiba masanya untuk kita menyelusuri kembali seni menegur yang berhikmah, untuk membina kasih sayang dan bukan meruntuhkan hubungan dengan kebencian.