Nurul Jannah binti Md. Noor
Nurul Jannah binti Md. NoorPensyarah Fakulti Sains dan Teknologi

Dalam era moden ini, rakyat Malaysia perlu menjadi individu yang proaktif serta mampu bergerak maju ke hadapan dengan mempunyai fikiran yang kreatif dan kritis dalam mengharungi samudera kehidupan. Segala cabaran yang dihadapi perlu diatasi dengan matang seperti isu ekonomi, politik dan sosial. Semua ini haruslah ditangani dengan baik tanpa mewujudkan perbalahan dan salah faham antara satu sama lain. Namun begitu, isu pendidikan juga perlu dititikberatkan kerana ia memainkan peranan yang besar dalam pembentukan generasi akan datang dan mewujudkan masyarakat yang mempunyai jati diri yang kukuh.

Ilmu pengetahuan adalah satu skop yang besar dan mempunyai cabang yang tersendiri dalam aspek-aspek tertentu. Setiap orang bermula dari individu yang berusia muda sehinggalah yang sudah meningkat dewasa adalah sangat perlu untuk mengutamakan ilmu dalam kehidupan. Hal ini kerana, orang yang menuntut ilmu akan dapat memberi faedah kepada dirinya sendiri, keluarga, masyarakat dan negara. Dalam hadis ada menyebut:

Daripada Abu Hurairah RA bahawasanya Rasulullah SAW bersabda, “Sesiapa yang menempuh satu jalan untuk mencari ilmu pengetahuan, maka Allah memudahkan baginya satu jalan untuk menuju ke Syurga”. – (Hadith Riwayat Muslim)

Ini menunjukkan bahawa orang yang berilmu pengetahuan mempunyai kelebihan tertentu seperti dapat membezakan antara hak dan batil. Orang yang menuntut ilmu juga akan mendapat kemudahan dan pertolongan daripada Allah SWT, serta mendapat ganjaran syurga di akhirat kelak. Di samping itu, Allah akan meninggikan darjat orang yang berilmu beberapa darjat seperti yang telah difirmankan dalam Surah Al Mujadilah ayat 11.

Seperti yang kita ketahui, Pendidikan Abad Ke-21 sering menjadi sebutan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia dan Warga Pendidikan. Antara kemahiran yang telah diperkenalkan ialah 4K iaitu komunikatif, kolaboratif, kritis dan kreatif. Strategi ini juga telah melibatkan peranan guru dalam mendapatkan keberkesanan dalam membina pembelajaran yang aktif. Selain itu, para pelajar perlu menyedari aspek nilai-nilai murni yang telah dipelajari dan mempraktikkannya dalam kehidupan seharian. Usaha ini dikatakan mampu untuk membentuk sebuah pendidikan holistik di Malaysia. Namun, semua tindakan perlu disesuaikan dengan isu dan konteks sekarang ini.

Pelbagai cara dan teknik telah dilakukan bagi meneruskan sesi pengajaran dan pembelajaran dalam keadaan yang sukar pada zaman sekarang. Oleh itu, pengajaran dan pembelajaran secara maya telah dilaksanakan oleh warga pendidik dan pelajar sejak bermulanya isu pandemik ini lagi. Inisiatif ini dipercayai lebih mudah dicapai kerana segala maklumat dapat disampaikan dengan hanya mempunyai akses internet sahaja. Aplikasi-aplikasi yang berkaitan dengan pendidikan juga semakin hari semakin canggih dan mampu untuk dimanfaatkan oleh semua peringkat umur.

Oleh kerana itu, norma baharu yang perlu diamalkan akibat dari penularan wabak penyakit Covid-19 ini termasuklah pendigitalan pendidikan. Merujuk kepada Dasar Pendigitalan Koleksi Perpustakaan oleh Perpustakaan Negara Malaysia, pendigitalan adalah satu proses untuk menukarkan format sumber ilmu dan maklumat yang bercetak (sama ada teks, audio, video, grafik) kepada bentuk digital supaya ianya dapat disimpan, mudah dikesan semula dan diedarkan secara elektronik. Dengan ini, setiap orang berupaya untuk mendapatkan ilmu dan maklumat meskipun tidak dapat menyertainya pada waktu yang sama.

Pendidikan pula adalah suatu proses pembelajaran, pengetahuan dan keterampilan. Seterusnya, ia merupakan kebiasaan sekumpulan manusia yang diwariskan dari satu generasi ke generasi selanjutnya melalui pengajaran, pelatihan dan penelitian. Ini menunjukkan pendidikan bukanlah hanya pembelajaran yang berlaku di ruang bilik darjah mahupun dewan kuliah, tetapi ia merangkumi setiap pengalaman dan ilmu baharu yang telah dipelajari dalam setiap proses dan tindakan. Oleh itu, aktiviti-aktiviti yang melibatkan program perkongsian secara maya perlu dipergiatkan dan diketengahkan untuk merangsang minda dan minat pelajar. Hal ini kerana, aktiviti- aktiviti seperti ini diharapkan dapat membantu para pelajar yang ingin bergiat aktif dan ingin berkongsi pandangan dan pendapat kepada warga kampus yang lain. Program-program seperti ini juga mampu meningkatkan ilmu pengetahuan di samping membina hubungan secara maya dengan pelajar-pelajar lain.

Misalnya, Speaking Corner yang dilaksanakan oleh kebanyakan universiti di Malaysia masih lagi dapat diteruskan meskipun para pelajar tidak berada di kampus. Malah, aktiviti ini berupaya untuk mendapatkan penonton yang lebih ramai daripada biasa. Bukan sahaja pelajar universiti yang terlibat menyertai program ini, malah orang lain yang berminat untuk mengetahui tentang tajuk yang dibincangkan juga boleh menyertai dan mendapat manfaat daripadanya.

Jika dibandingkan program ‘Voice Out: Unleash Your Ideas’ yang dianjurkan oleh Sekretariat Fakulti Sains dan Teknologi (SekreFaST) USIM yang dilaksanakan secara bersemuka dan secara maya, akan terdapat perbezaan dari segi bilangan penonton serta keterlibatan aktif semasa program berlangsung. Individu-individu lain juga boleh mendapat manfaat daripada perkongsian ini melalui laman Instagram rasmi persatuan tersebut.

Program dan aktiviti seperti ini dilihat mampu untuk membina dan memupuk pelajar yang lebih berdaya saing bukan hanya dari segi intelektetapi juga kemahiran dalam beraktiviti dan berpesatuan. Hal ini tidak akan menghalang para pelajar untuk terus bergiat aktif dalam bidang masing-masing selagi mana mereka masih digelar mahasiswa.

Selain itu, beberapa program yang menarik juga dapat dijalankan dengan merealisasikan usaha pendigitalan pendidikan ini. Salah satunya adalah aktiviti resensi buku seperti yang telah dijalankan juga oleh SekreFaST USIM dalam program ‘World Of Wisdom (WOW)’ pada semester 2, sesi 2019/2020 Aktiviti ini telah memberi peluang kepada para pelajar untuk menyampaikan maklumat-maklumat menarik yang ingin dikongsikan kepada orang ramai. Dengan ini juga secara tidak langsung dapat menaikkan semangat dan minat orang lain untuk membaca buku yang telah dikongsikan itu.

Akhir kata, kita perlu cuba untuk menyesuaikan diri dalam era norma baharu ini untuk terus menjalankan kehidupan dengan mengharungi cabaran-cabaran dengan bijak. Jangan biarkan masalah ini terus membelenggu diri tanpa membuat apa-apa tindakan. Kita juga perlu melihat masalah ini sebagai peluang dan bukanlah sebagai batu penghalang untuk menjadikan negara kita sebuah negara yang cemerlang, gemilang dan terbilang khusunya dalam aspek pendidikan. Inovasi baharu juga dapat dicipta seiring dengan teknologi yang semakin canggih dan berkembang dengan amat pantas.