Nur Soffiah Faqiehah Ahmad Bukhori
Nur Soffiah Faqiehah Ahmad BukhoriMahasiswa, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan

Dunia hari ini sedang berhadapan dengan realiti baharu yang jauh berbeza berbanding dekad sebelumnya. Era pascanormal yang muncul selepas krisis pandemik COVID-19 menyaksikan perubahan teknologi berlaku dengan pantas, diiringi ketidaktentuan politik dan ekonomi yang semakin kompleks.

Dalam menghadapi perubahan ini, golongan pemuda khususnya mahasiswa memikul tanggungjawab besar dalam membina sebuah peradaban yang kukuh dan berdaya saing. Pembinaan tamadun yang mampu bertahan tidak hanya bergantung kepada kemajuan material, sebaliknya memerlukan pembaharuan yang disertai gagasan, kekuatan pemikiran serta tradisi keilmuan yang mapan.

Realiti semasa menuntut mahasiswa kembali memberikan perhatian kepada budaya ilmu. Kepesatan teknologi yang berlaku hari ini bukan sahaja mengubah cara manusia bekerja dan berkomunikasi, bahkan turut memberi kesan besar terhadap kehidupan, pemikiran serta sistem pendidikan.

Kemunculan kecerdasan buatan atau Artificial Intelligence (AI), misalnya, telah mencetuskan perubahan yang begitu pesat sehingga menuntut manusia menilai semula hubungan antara teknologi, ilmu dan nilai kemanusiaan.

Mustafa Suleyman dalam bukunya The Coming Wave membincangkan bagaimana penemuan besar sepanjang sejarah telah mengubah kehidupan manusia. Namun, perkembangan AI membawa cabaran yang berbeza kerana teknologi ini bukan sekadar bertindak sebagai alat, malah semakin berupaya mempengaruhi proses manusia membuat keputusan.

Jika suatu ketika dahulu penciptaan roda dan elektrik membantu memudahkan kehidupan manusia, perkembangan AI hari ini turut menimbulkan persoalan mengenai sejauh mana manusia harus menyerahkan proses pemikiran, pertimbangan dan keputusan kepada teknologi.

Perubahan ini perlu difahami dan ditangani secara bijaksana agar masyarakat tidak sekadar menjadi pengguna teknologi, tetapi mempunyai keupayaan intelektual untuk menilai, membentuk dan mengarah penggunaannya demi kepentingan manusia.

Dalam konteks pendidikan tinggi pula, kekuatan sesebuah masyarakat banyak bergantung kepada keupayaannya menghasilkan ilmu. Universiti bukan hanya tempat melahirkan graduan untuk memenuhi keperluan pasaran pekerjaan, tetapi institusi yang bertanggungjawab mengembangkan pemikiran, membina nilai serta menghasilkan ilmu yang dapat menyumbang kepada kemajuan masyarakat.

Justeru, usaha membina semula kekuatan peradaban tidak boleh dipisahkan daripada kecemerlangan ilmu. Sukar untuk membicarakan kebangkitan sesuatu masyarakat sekiranya budaya membaca, berfikir, menyelidik dan menghasilkan ilmu tidak diberikan perhatian sewajarnya.

Pada masa yang sama, pendidikan tidak seharusnya dinilai semata-mata melalui ukuran pencapaian material.

Kecemerlangan akademik dan profesional yang tidak disertai etika, moral serta rasa tanggungjawab terhadap masyarakat berpotensi melahirkan individu yang berjaya dari sudut kerjaya tetapi kehilangan nilai kemanusiaan. Pendidikan seharusnya melahirkan manusia yang bukan sahaja berpengetahuan, malah mempunyai empati, integriti dan kesedaran terhadap tanggungjawab sosial.

Perkara ini turut berkait rapat dengan peranan gerakan mahasiswa.

Gerakan mahasiswa sejak dahulu mempunyai hubungan yang rapat dengan persoalan masyarakat, keadilan, pendidikan dan pembangunan negara. Dalam persekitaran semasa, mahasiswa perlu memastikan perjuangan mereka tidak hanya tertumpu kepada kepentingan kelompok atau individu, tetapi turut mengambil kira persoalan lebih besar yang dihadapi masyarakat.

Mahasiswa harus menjadi kelompok yang berani bertanya, menilai dan mengemukakan gagasan. Mereka tidak boleh sekadar menjadi pemerhati kepada perubahan yang berlaku, sebaliknya perlu terlibat secara aktif dalam membentuk masa depan masyarakat melalui ilmu dan pemikiran.

Di sinilah universiti dan kepimpinan mahasiswa mempunyai peranan penting untuk mengembalikan roh sebenar pendidikan, iaitu pendidikan yang memanusiakan manusia.

Cabaran radikal yang dibawa oleh perkembangan teknologi memerlukan kerangka pemikiran yang menyeluruh. Kemajuan tidak seharusnya dinilai berdasarkan kecanggihan teknologi semata-mata, tetapi juga sejauh mana teknologi tersebut membantu meningkatkan kesejahteraan, keadilan dan martabat manusia.

Nilai dan etika perlu terus diberikan tempat dalam pendidikan, teknologi, politik, ekonomi serta sistem kehidupan yang lain.

Kesepaduan antara ilmu dan nilai menjadi semakin penting ketika dunia berhadapan dengan kebanjiran maklumat dan perkembangan AI. Teknologi seharusnya membantu manusia memperluas pengetahuan, bukannya menggantikan keupayaan manusia untuk berfikir.

Mahasiswa khususnya tidak seharusnya terlalu bergantung kepada AI sehingga menghakis budaya membaca, menganalisis, berdiskusi dan membina hujah secara kritis.

Sebaliknya, kecanggihan teknologi perlu dimanfaatkan sebagai alat untuk memperkayakan proses pembelajaran dan penghasilan ilmu.

Dalam menghadapi dunia yang berubah pantas, mahasiswa perlu kembali membudayakan ilmu yang seimbang dan bersepadu. Budaya membaca, berfikir secara kritis, berdialog, menyelidik dan menghasilkan gagasan perlu terus diperkukuh dalam kehidupan kampus.

Akhirnya, masa depan sesebuah peradaban bukan hanya ditentukan oleh sejauh mana teknologinya berkembang, tetapi juga oleh jenis manusia yang dilahirkannya.

Mahasiswa hari ini mempunyai tanggungjawab untuk memastikan kemajuan ilmu dan teknologi sentiasa bergerak seiring dengan nilai, etika dan kemanusiaan. Hanya melalui budaya ilmu yang kukuh, seimbang dan bersepadu, generasi masa kini mampu membina masa depan yang bukan sahaja maju, tetapi turut memiliki jiwa dan nilai kemanusiaan.