Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)  dahulunya dikenali sebagai Kolej Universiti Islam Malaysia (KUIM) telah diluluskan penubuhannya dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada 11 Jun 1997 dan diwartakan pada 13 Mac 1998. Ia merupakan sebuah Universiti Islam Malaysia yang pertama ditubuhkan oleh Kerajaan Malaysia di permulaan abad ke-21 dan merupakan Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) yang ke-12 di negara ini. Di antara tujuan penubuhan KUIM ialah untuk memartabatkan pendidikan Islam serta membawanya ke dalam arus perdana pendidikan negara dan menekankan penggunaan ICT dalam sistem pengajaran dan penyelidikannya. KUIM juga menumpukan penguasaan dalam Bahasa Arab dan Bahasa Inggeris di samping Bahasa Melayu. Mulai 1 Februari 2007, lakaran sejarah telah tercipta apabila nama Kolej Universiti Islam Malaysia telah ditukar kepada Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).