TUNKU-ALI

YANG AMAT MULIA TUNKU BESAR SERI MENANTI
TUNKU ALI REDHAUDDIN IBNI TUANKU MUHRIZ
PRO-CANSELOR UNIVERSITI SAINS ISLAM MALAYSIA

Yang Amat Mulia Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin Ibni Tuanku Muhriz adalah putera sulung kepada Duli Yang Maha Mulia Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus, Tuanku Muhriz Ibni Al-Marhum Tuanku Munawir dan Duli Yang Maha Mulia Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus, Tuanku Aishah Rohani Ibni Almarhum Tengku Besar Mahmud. YAM Tunku diputerakan di Hospital Universiti, Kuala Lumpur pada 26 April 1977, iaitu genap tiga tahun satu hari selepas perkahwinan ayahanda dan bondanya.
YAM Tunku mendapat pendidikan awalnya di Sekolah Sri Inai Junior dan The Alice Smith School Kuala Lumpur sebelum melanjutkan persekolahan menengahnya di Marlborough College di Wiltshire, United Kingdom di peringkat GCSE (‘O’ Level) dan GCE ‘A’ Level. YAM Tunku juga bergiat aktif mewakili kolej dalam sukan badminton dan bola keranjang, dan menjalani latihan asas ketenteraan dengan menganggotai Angkatan Kadet Campuran (CCF).

YAM Tunku mencapai keputusan cemerlang di peringkat ‘A’ Level dan dianugerahkan biasiswa Sime Darby / Cambridge Commonwealth Trust untuk melanjutkan pelajaran di University of Cambridge dalam bidang Sejarah dan Sains Sosial & Politik dan seterusnya dianugerahkan Ijazah Sarjana Muda Kepujian, BA (Hons) dalam tahun 1998.

YAM Tunku juga amat aktif sewaktu di universiti apabila dilantik sebagai ahli jawatankuasa Persatuan Warga Malaysia dan sebagai Bendahari, Cambridge University Orient Express, sebuah persatuan yang ditubuhkan bagi meningkatkan kesefahaman budaya di antara pelbagai kebudayaan di Asia dan juga di United Kingdom.

Pada tahun 1997, YAM Tunku berkhidmat di BZW Asia Ltd sebagai Summer Analyst, Corporate Finance. Kemudian YAM Tunku memulakan kerjayanya sebagai konsultan di McKinsey & Company, United Kingdom pada tahun 1998 dengan mengendalikan projek-projek dalam industri minyak dan gas, institusi kewangan, teknologi dan telekomunikasi. Ketika di Mckinsey & Company, pelbagai pendedahan dan pengalaman yang ditimba sewaktu YAM Tunku menjalankan tugas di Eropah, Amerika Syarikat, Hong Kong, Singapura dan juga Malaysia.

Pada tahun 2004, YAM Tunku berhasrat untuk berkhidmat dan menyumbang kepada tanah air melalui Khazanah Nasional Berhad, agensi pelaburan strategik kerajaan Malaysia, sebagai Senior Vice President, Investments. YAM Tunku terlibat secara aktif dalam inisiatif seperti Government Linked Companies’ (GLC) Transformation Programme serta menerajui pelaburan strategik di dalam dan di luar negara.

Antara projek yang diterajuinya adalah dalam bidang institusi kewangan serta taman tema seperti Legoland Malaysia dan Kidzania Kuala Lumpur dan kerjayanya berkesudahan dengan perlantikan sebagai Director, Investments. Semenjak itu, YAM Tunku menduduki kerusi Lembaga Pengarah beberapa syarikat, diantaranya Asia Capital Reinsurance Malaysia, Themed Attractions and Resorts, Destination Resorts and Hotels, Teluk Datai Resorts dan Iskandar Malaysia.

Tahun 2009 merupakan tahun gemilang di dalam sejarah hidup YAM Tunku Ali Redhauddin. YAM Tunku dengan rasminya dimasyhurkan sebagai Tunku Besar Seri Menanti, menggantikan ayahandanya, DYMM Tuanku Muhriz Ibni Al-Marhum Tuanku Munawir yang ditabalkan sebagai Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus. YAM Tunku juga dikurniakan Darjah Kerabat Yam Tuan Raden (DKYR) dan ditauliahkan dengan pangkat Leftenan Kolonel (Kehormat) dalam kor Askar Wataniah.

Walaupun sibuk dengan tugasan rasmi yang disandang, YAM Tunku Ali Redhauddin berjaya menamatkan program Masters in Public Administration di John F. Kennedy School of Government di Harvard University, Amerika Syarikat pada Julai 2011.

YAM Tunku bergiat aktif dalam program-program pembangunan masyarakat, diantaranya menganjurkan bengkel-bengkel kepimpinan untuk pelajar dan juga golongan profesional muda. YAM Tunku turut melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti yang memberi pimpinan, bimbingan, dorongan dan pendedahan kepada anak-anak muda mahupun yang masih di bangku sekolah. Pendekatan YAM Tunku terhadap tanggungjawab kepada masyarakat dipikul melalui penglibatan YAM Tunku sebagai Ahli Lembaga Pemegang Amanah dan Pengasas, Teach for Malaysia, Pengerusi, Yayasan Munarah serta Gabenor, Marlborough College Malaysia. YAM Tunku juga dilantik sebagai Karyawan Tamu Diraja Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Di samping memberi tumpuan terhadap kerjaya dan keluarganya, YAM Tunku gemar meluaskan pengalaman dan pemikiran dengan melancong, membaca dan aktiviti-aktiviti riadah. YAM Tunku juga merupakan penggemar sejarah dan sehingga kini masih tekun membaca buku sejarah. YAM Tunku Ali baru mula bergiat dalam sukan golf tetapi prestasinya masih boleh diperbaiki lagi. YAM Tunku berharap agar dapat berbakti dan memainkan peranan yang penting dan berpanjangan dalam pembangunan dan kejayaan rakyat Negeri Sembilan serta kemajuan Malaysia.

Sesungguhnya, seluruh warga Universiti Sains Islam Malaysia amat berbangga dan berbesar hati dengan perlantikan Yang Amat Mulia Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin Ibni Tuanku Muhriz sebagai Pro-Canselor Universiti Sains Islam Malaysia.

TUN DATO’ SERI (DR.) ZAKI BIN TUN AZMI
PRO-CANSELOR UNIVERSITI SAINS ISLAM MALAYSIA

Yang Amat Berbahagia Tun Dato’ Seri Zaki bin Tun Azmi dilahirkan pada 12 September 1945 di Alor Setar, Kedah. Beliau mendapat pendidikan awal di Kolej Sultan Abdul Hamid, Alor Setar, Sekolah Anderson, Ipoh dan English College (Maktab Sultan Abu Bakar), Johor Bahru. Beliau kemudiannya melanjutkan pengajian dalam bidang undang-undang di Lincoln’s Inn London sehingga mendapat Barrister-at-Law pada tahun 1969. Beliau mendirikan rumah tangga dengan Toh Puan Nik Sazlina Mohd Zain dan dikurniakan empat orang anak. Selepas tamat pengajian undang-undang, Yang Amat Berbahagia Tun memulakan perkhidmatan di Jabatan Peguam Negara pada tahun 1969. Beliau telah memegang pelbagai jawatan sewaktu berkhidmat di Jabatan Peguam Negara. Antaranya Majistret di Kuala Lumpur, Presiden Mahkamah Seksyen Ipoh, Peguam Persekutuan di Bahagian Penggubalan Undang-Undang dan Peguam Kanan Persekutuan di Kementerian Dalam Negeri. Selepas 15 tahun berkhidmat dengan kerajaan, beliau memulakan karier sebagai peguambela dan peguamcara di salah sebuah firma guaman terkemuka di Kuala Lumpur.

Pada 2004, beliau dilantik menganggotai Suruhanjaya Diraja untuk Meningkatkan Operasi dan Pengurusan Polis Diraja Malaysia (PDRM). Dengan pengalaman perkhidmatan yang luas selama 37 tahun dalam bidang undang-undang di sektor kerajaan dan swasta, beliau telah dilantik sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan pada 5 September 2007. Pada 11 Disember 2007 beliau telah dilantik sebagai Presiden Mahkamah Rayuan. Beliau kemudiannya dilantik sebagai Ketua Hakim Negara pada 18 Oktober 2008 hingga 11 September 2011. Semasa menjawat jawatan Ketua Hakim, beliau telah berjaya menambah baik sistem pengurusan kehakiman menjadi lebih efektif. Kes-kes tertunggak telah dapat diselesaikan dengan cepat dengan pengenalan sistem dan dasar yang lebih cekap. Penambahbaikan kepada sistem kehakiman yang diperkenalkan oleh Yang Amat Berbahagia Tun telah menarik perhatian lebih 40 sistem kehakiman dari negara-negara yang lain yang mempunyai masalah kes-kes tertunggak untuk datang melawat dan mempelajari pengurusan sistem kehakiman yang dilaksanakan oleh Malaysia.

Yang Amat Berbahagia Tun juga telah berjaya menjadikan prosedur mahkamah lebih ringkas dan mesra pelanggan, mewujudkan persekitaran pembelajaran kehakiman dan undang-undang tanpa had untuk para hakim, dan memperkenalkan sistem yang meminimakan penggunaan kertas di mahkamah dengan bantuan teknologi terkini. Selepas bersara sebagai Ketua Hakim Negara, Yang Amat Berbahagia Tun tetap aktif mencurahkan bakti dan perkhidmatan kepada negara dan masyarakat. Hasil perkhidmatan cemerlang dalam bidang kehakiman dan undangundang menyebabkan beliau terus diberikan kepercayaan dan amanah untuk menyumbang idea dan fikiran dalam pelbagai organisasi kerajaan, swasta dan badan bukan kerajaan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Beliau aktif memainkan peranan di peringkat pengajian tinggi negara. Beliau merupakan Canselor bagi Universiti Multimedia (MMU) dan Universiti MAHSA serta pernah diberi kepercayaan sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Malaysia Sabah (UMS). Beliau juga bertindak sebagai Pengerusi pertama kepada Pengerusi-Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Awam Malaysia yang ditubuhkan atas inisiatif beliau sendiri.

Dalam usaha kerajaan untuk menambah baik perkhidmatan awam, Yang Amat Berbahagia Tun telah diberi kepercayaan sebagai salah seorang ahli Suruhanjaya Khas Mengkaji Transformasi Perkhidmatan Awam pada tahun 2012. Sewaktu kebocoran kertas peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) pada tahun 2014, beliau juga telah dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Bebas Mengkaji Pengurusan Peperiksaan Awam, bagi menyiasat dan mengkaji tahap pengurusan peperiksaan tersebut. Di peringkat antarabangsa, beliau diberi kepercayaan sebagai Hakim Dubai International Financial Centre. Beliau ialah salah seorang hakim yang mendengar kes-kes melibatkan isu kewangan antarabangsa yang berpusat di Dubai. Beliau memainkan peranan aktif dalam alumni Lincoln’s Inn Malaysia sebagai Presiden.

Persatuan ini aktif dalam menganjurkan seminar undang-undang, latihan untuk peguam-peguam muda dan makan malam untuk peguam seperti yang dianjurkan oleh Lincoln’s Inn di London. Dalam masa yang sama, beliau serta beberapa orang hakim mahkamah persekutuan yang telah bersara aktif menganjurkan pelbagai program berkaitan kehakiman, kepeguaman dan undangundang untuk masyarakat. Beliau juga telah memberi sumbangan bernilai kepada Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dengan berkongsi kepakarannya dalam bidang kehakiman dan undang-undang. Sumbangan beliau terhadap pembangunan kurikulum program akademik di Fakulti Syariah dan Undang-Undang (FSU) di USIM bermula sejak tahun 2011 apabila beliau dilantik sebagai Profesor Adjung di FSU. Beliau terlibat sebagai panel penasihat program Ijazah Sarjana Muda Syariah dan Undang-Undang sewaktu lawatan pengiktirafan Ijazah Sarjana Muda Syariah dan Undang-Undang oleh Lembaga Kelayakan Profesion Undang-Undang pada November 2013.

Beliau juga banyak membantu dan menasihati fakulti dalam urusan pengiktirafan Ijazah Sarjana Muda Syariah dan Undang-Undang USIM. Di samping itu, Yang Amat Berbahagia Tun aktif dalam kegiatan akademik yang dianjurkan di peringkat FSU. Beliau sering berkongsi idea menyampaikan syarahan undang-undang kepada pelajar dan staf akademik fakulti dari tahun 2011 hingga sekarang. Beliau amat menggalakkan pelajar-pelajar FSU mengambil bahagian dalam pertandingan Mut bagi mengasah kemahiran berhujah yang diperlukan oleh pelajar undang-undang. Pertandingan Mut FSU dinamakan sempena nama beliau iaitu Pertandingan Mut Piala Tun Zaki dengan beliau turut berbesar hati menaja piala pusingan pertandingan ini.

Pelajar-pelajar FSU yang menyertai pertandingan ini amat bertuah kerana dapat berhujah di hadapan Yang Amat Berbahagia Tun sendiri yang menghakimi Pertandingan Mut ini. Selain itu, graduan Sarjana Muda Undangundang dan Syariah yang terbaik dalam Majlis Konvokesyen USIM turut menerima penghargaan iaitu menerima Anugerah Khas Yayasan Tun Azmi. Sebanyak RM 30,000.00 disumbangkan oleh Yayasan Tun Azmi sebagai bentuk penajaan kewangan kepada anugerah khas yang diwujudkan ini. Pada Majlis Konvokesyen Ke-13 USIM pada 2015, Yang Amat Berbahagia Tun telah dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah Syariah dan Kehakiman sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan besar beliau kepada institusi kehakiman dan undang-undang.