JELEBU, 15 April 2017 – Seramai 37 penuntut Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) anjuran Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan, Sekretariat Ekonomi dan Muamalat (SekreFEM) telah melaksanakan program Khidmat Masyarakat di Kampung Kuala Pah Kampai, Negeri Sembilan.
Program ini dijalankan atas dasar kepercayaan bahawa semangat membantu orang ramai mampu menguatkan jati diri seseorang terutamanya pelajar selain dapat memberikan manfaat kepada orang ramai.
Pengarah Program Khidmat Masyarakat, Muhamad Haziq bin Hamazah berkata, semangat sukarelawan atau tolong-menolong dalam kalangan masyarakat bukan hanya mampu meringankan kesusahan golongan yang memerlukan, juga mengeratkan hubungan antara satu sama lain.
“Kami disambut baik oleh penduduk kampung malah suasana meriahnya bagaikan menyambut Hari Raya Aidilfitri. Kami percaya banyak ilmu yang belum dipelajari kerana banyak perkara seperti soft skill perlu diperolehi dari pengalaman yang tidak ada dalam kelas semasa kita belajar”.
Pelbagai aktiviti telah dilaksanakan, antaranya membersihkan kawasan kampung-kampung, merewang yang turut dibantu oleh penduduk kampung, kem tahsin solat bagi anak-anak penduduk setempat lingkungan umur 5 hingga 12 tahun dan aktiviti sukaneka bagi ibu bapa dan anak-anak.
Program Khidmat Masyarakat ini telah dirasmikan oleh Tuan Baharuddin bin Jali, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Jelebu. Bantuan seperti barangan keperluan harian turut disumbangkan oleh Tuan Baharuddin serta sedikit sumbangan daripada pihak USIM bagi mengurangkan beban masyarakat yang memerlukan.
“Program khidmat masyarakat ke kampung-kampung seperti ini mampu menyemarakkan semangat sukarelawan dalam kalangan golongan muda. Ini sebagai sebelum berhadapan dengan masyarakat selepas tamat pengajin nanti,” ucap Tuan Baharuddin di dalam ucapannya.
Disediakan oleh :
Shahida
Exco Kesukarelawanan
Majlis Perwakilan Pelajar (MPP)
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Dikemaskini oleh:
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan
Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204