NILAI – Dua pelajar Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah (FPQS), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah diberi tanggungjawab menjadi imam solat tarawih di Osaka, Jepun sepanjang bulan Ramadan yang bakal tiba.
Wan Ahmad Mujahid Wan Fajrulhisyam dan Nik Ahmad Nik Aziz merupakan pelajar Sarjana Muda Pengajian Qiraat dengan Kepujian yang sedang menjalani Latihan Industri di Japan Dakwah Centre (JDC). Mereka berlepas ke Jepun pada 10 Mac 2024 untuk menjadi imam jemputan bagi solat tarawih sempena Ramadan di dua tempat secara penggiliran iaitu di Japan Dakwah Centre dan Osaka Islamic Centre.
Profesor Dato’ Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani, Naib Canselor USIM amat berbangga kerana pelajar USIM dipilih untuk mengetuai solat tarawih di Jepun. Ia menunjukkan bahawa USIM mampu melahirkan pelajar berkelayakan dalam bidang pengajian Islam yang bertaraf antarabangsa sesuai dengan falsafah USIM yang mengamalkan integrasi ilmu Naqli dan Aqli.
“Sesungguhnya peluang yang amat berharga ini akan saya manfaatkan sebaik mungkin untuk mengutip ilmu dan pengalaman hidup bagi menabur khidmat kepada masyarakat kelak InshaAllah. Doakan saya agar dapat menggalas tugas ini dengan baik dan mendapat keredaan daripada Allah Taala,” kata Mujahid.
“Rasa teruja dan berbesar hati untuk mencabar diri sendiri di negara luar dan semestinya keluar dari zon selesa. Harapan saya, semoga saya selalu diberi kesihatan oleh Allah Taala supaya saya dapat berkhidmat dan berbakti untuk Islam selama saya di sini, di osaka, Jepun,” tambah Nik Ahmad.
Mereka akan berada di Osaka selama 40 hari dan dijangka kembali ke Malaysia pada 20 April 2024 untuk menghabiskan Latihan Industri di Pusat Islam USIM.
Oleh: Adika Hakmi Ab Ghani