NILAI – Duta Besar Palestin, Tuan Yang Terutama Walid A. M. Abu Ali hadir ke Majlis Istiadat Konvokesyen Ke-21 Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) bagi menerima Ijazah Anumerta mewakili dua graduan USIM yang terkorban dalam serangan Zionis di Gaza, Palestin, iaitu Mohammed J. H. Alzaanin, Doktor Falsafah (Pengurusan Sumber Manusia) serta isteri, Kholoud M. H. Elzaneen, Sarjana Sains (Mod Penyelidikan), Fakulti Sains dan Teknologi.
Ijazah dianugerahkan oleh Canselor USIM, Duli Yang Maha Mulia Tuanku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud yang berkenan menganugerahkan ijazah itu kepada Duta yang mewakili pasangan tersebut.
Dalam serangan pada 8 Oktober 2023 itu, Mohammed disahkan terbunuh bersama isteri di perkampungan mereka di Bait Hanon.Turut terkorban adalah tiga orang anak mereka manakala seorang lagi anak lelaki Mohammed, Jamil Mohammed, disahkan selamat.
Walid yang ditemui berkata, beliau berbesar hati dan turut menzahirkan rasa terima kasih kepada USIM kerana telah menganugerahkan ijazah Doktor falsafah dan Sarjana ini kepada Mohammed dan Kholoud yang sepatutnya hadir meraikan hari kejayaan mereka menamatkan pengajian ini serta mengharapkan agar rakyat dan Kerajaan Malaysia meneruskan sokongan dan solidariti kepada rakyat Palestin yang terkesan dalam peperangan yang melibatkan rejim Zionis ini.