KOTA KINABALU – Kerajaan Negeri Sabah menjalin kerjasama strategik dengan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dengan menyediakan penajaan bagi pelajar negeri Sabah untuk menjalani program pengajian kitab turath secara eksklusif selama tiga tahun di USIM.

Kerjasama ini diumumkan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, yang menyatakan bahawa langkah ini adalah sebahagian daripada usaha bagi meningkatkan penyertaan belia negeri Sabah dalam mendalami ilmu turath.

“Dinamakan sebagai Duta Turath Sabah@USIM, program ini adalah penawaran eksklusif kepada anak negeri Sabah yang ingin menyambung pengajian di USIM. Saya melihat inisiatif ini sebagai satu langkah yang amat penting dalam memperkaya kefahaman ilmu turath dalam kalangan generasi muda kita,” kata Datuk Seri Hajiji Noor semasa merasmikan Simposium Antarabangsa Turath Sabah, Malaysia 2024 di Hotel Sutera Harbour, Kota Kinabalu pada 7 Mac baru-baru ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr. Mohd Arifin Mohd Arif.

“Saya berharap agar pelajar yang berjaya melalui program ini akan menjadi ilmuan yang mampu memainkan peranan yang penting dalam pemerkasaan turath Islam di negeri Sabah selepas menamatkan pengajian mereka,” Tambah beliau

Selain itu, Datuk Seri Hajiji Noor turut menggesa umat Islam di Sabah untuk meningkatkan diri melalui pembelajaran ilmu pengetahuan, kemahiran, dan perubahan sikap yang membawa kepada pemerkasaan diri serta masyarakat.

“Kita perlu memperkukuhkan pemahaman kita dalam agama Islam serta mengaplikasikan nilai yang terkandung dalam ilmu turath untuk melahirkan generasi yang dinamik dan inovatif,” katanya.

Datuk Seri Hajiji Noor berharap agar program ini akan memberikan manfaat serta ilmu yang berguna kepada umat Islam di negeri di bawah bayu itu.

“Dengan adanya program ini, kita dapat membincangkan dengan lebih mendalam tentang kerangka pembacaan kitab turath agar isi kandungannya dapat dimanfaatkan secara optimum. Memahami serta mengaplikasikan ilmu turath adalah penting dalam memperkukuhkan keimanan dan pemahaman agama dalam kalangan umat Islam,” katanya.

Simposium Antarabangsa Turath Sabah 2024 bertujuan memartabatkan kitab turath Islam serta menekankan kepentingan penggunaannya dalam konteks dunia Islam masa kini.

 

Oleh: Adika Hakmi Ab Ghani