SEPANG – Persatuan Mahasiswa Komunikasi Media Baharu, Fakulti Kemimpinan dan Pengurusan (FKP), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menyantuni 18 orang anak-anak yatim dari Pertubuhan Baitus Sakinah Hidayah melalui penganjuran program Iftar Mahabbah with NewMec, Sepang pada 31 Mac 2024 baru- baru ini.
Program ini disertai oleh seramai 27 orang pelajar bersama dua orang pensyarah pengiring iaitu Dr. Kartini Kamaruzzaman, Ketua Program, Program Komunikasi Media Baharu, dan Dr. Norsimaa Mustaffa, pensyarah Program Komunikasi Media Baharu.
Pengarah program saudari Zajlatul Abidah Kamarudin, yang juga merupakan Exco Perhubungan Luar dan Korporat berkata, penganjuran program ini adalah untuk membina ikatan sosial yang mahabbah antara mahasiswa dan masyarakat setempat. Ini kerana ia secara tidak langsung dapat memberi impak positif di samping membentuk hubungan yang bermakna dengan anak-anak yatim dan membantu mereka merasai kegembiraan diraikan di bulan Ramadan.
Ujarnya lagi, program seumpama ini juga dapat memupuk nilai positif dalam kalangan mahasiswa agar sentiasa berbuat kebaikan kepada masyarakat di sekeliling disamping memberi peluang kepada para pelajar untuk mengamalkan nilai-nilai kebaikan seperti empati, kongsi rezeki, dan tanggungjawab sosial. Ia termasuklah membina sifat kekeluargaan, toleransi dan kasih sayang sama ada dalam berpersatuan mahupun dalam kalangan komuniti.
Sementara itu, Ketua Program Komunikasi Media Baharu Dr. Kartini Kamaruzzaman turut menyatakan rasa bangga dengan ahli jawatankuasa persatuan NewMeC kerana dapat menjayakan program ini dengan jayanya dan teruskan semangat menyantuni komuniti sekitar dan memberi manfaat kepada ummah serta berharap program-program seperti ini perlu diteruskan pada masa akan datang.
Pelbagai aktiviti dan pengisian menarik telah dijalankan sebelum iftar antaranya sesi ‘Ice Breaking: Mission Impossible’ dan aktiviti berkumpulan melalui permainan menguji minda.
Selepas selesai sesi berbuka puasa, dan solat tarawih berjemaah dan majlis diteruskan dengan sesi pemberian cenderahati.
Oleh: Muhammad Akmal Zuhdi Bin Che Mohd Zaini