NILAI, 8 OGOS 2016 – Kejohanan SUKUM 2016 kali ke-41 yang telah bermula pada 6 Ogos akan berlangsung sehingga 13 Ogos 2016 menyaksikan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) sebagai tuan rumah menghimpunkan sebanyak 20 Kontingen Universiti Awam seluruh negara terdiri daripada lebih 3600 orang atlet dan pegawai yang berkampung di USIM.

SUKUM 2016 mempertandingkan sebanyak 16 acara iaitu Bola Sepak, Badminton, Bola Jaring, Bola Tampar, Boling Padang, Catur, Dart, Futsal, Lawn bowls, Kerum, Tenpin Boling, Tenis, Berbasikal, Ping Pong, Olahraga dan Tarik Tali.

Kesemua acara berlangsung di Kompleks Sukan Tuanku Najihah USIM; Dewan Tuanku Canselor USIM; Uptown Sports Planet, Bangi; dan Kompleks Sukan Lawn Bowls Seremban 2.

Naib Canselor USIM, Prof Dato’ Dr. Musa Ahmad dalam ucapannya berkata, berharap agar semua selesa dengan kemudahan yang disediakan dan semua atlet dapat memberikan persaingan yang sihat disamping dapat merapatkan hubungan antara universiti.

“Sebagai tuan rumah, USIM akan sedaya-upaya untuk menyediakan fasiliti dan kemudahan sebaik mungkin bagi keselesaan Kontingen Universiti Awam yang mengambil bahagiandan  menjadikan SUKUM pada tahun ini berjalan dengan lancar”, jelas Dato’ Musa.

Semua persediaan telah dilakukan sejak dari hujung tahun 2015 lagi oleh Pusat Sukan USIM dan dibantu oleh beberapa pusat tanggungjawab (PTJ) yang berkaitan seperti Jabatan Pembangunan dan Pengurusan Fasiliti (JPPF), Pusat Kesihatan Universiti dan lain-lain.  Persediaan SUKUM 2016 turut dibantu seramai 250 sukarelawan pelajar dan kakitangan USIM sebagai urusetia penyelaras setiap acara sukan

Majlis Pembukaan SUKUM 2016 ini disempurnakan oleh YAB Dato’ Seri Utama Haji Mohammad Haji Hasan, Menteri Besar Negeri Sembilan merangkap Menteri Mentor USIM di Stadium Kompleks Sukan Tunku Najihah USIM. Turut hadir sama pada malam itu, Dato’ Hj Mat Ali Hassan Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, Naib Canselor dan Timbalan Naib Canselor, Pendaftar, Pengarah Pusat Sukan Universiti Awam Malaysia dan Ahli Jawatankuasa Pengurusan Universiti USIM.

 

Disediakan oleh:

Syazlyna Jamil
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan

Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204