NILAI– Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah melancarkan siri nombor pendaftaran “UQ” yang dibuka untuk bidaan mulai 20 Februari 2024 sehingga 29 Februari 2024 ini.

Majlis pelancaran telah disempurnakan oleh Naib Canselor USIM Prof. Dato’ Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani,  bersempena Majlis Amanat beliau yang berlangsung baru-baru ini.

Prof Dato’ Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani berkata, pemilikan nombor pendaftaran USIM “UQ” menjadi simbolik dan mempunyai makna yang mendalam kepada “Universiti Quran” mengambil kira niche USIM yang membawa warganya mengamalkan integrasi ilmu Naqli dan Aqli.

“Saya berharap agar pemilikan nombor pendaftaran “UQ” ini mendapat sokongan padu oleh semua masyarakat serta warga USIM termasuk alumni. Nombor pendaftaran ini sangat dekat di hati warga dan alumni USIM dalam memastikan perasaan “sense of belonging” kekal dalam diri”, katanya lagi.

USIM melalui anak syarikat USIM Tijarah Holdings Sdn Bhd telah menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) dengan Syarikat Aquatwo yang bertanggungjawab sepenuhnya dalam proses pemasaran, penjualan/bidaan, pengurusan kewangan, lantikan ejen pemasaran, promosi dan sistem jualan /bidaan nombor pendaftaran khas ini.

Sesiapa yang berminat untuk mendapatkan nombor pendaftaran unik ini boleh melayari laman web www.uqplat.com.my untuk mengikuti perkembangan semasa dan membuat bidaan nombor pendaftaran UQ tersebut.

Turut bersama-sama menyempurnakan pelancaran nombor pendaftaran UQ tersebut ialah Encik Ahmad Shukri Zulkifli, Ketua Pegawai Eksekutif USIM Tijarah Holdings Sdn. Bhd.

 

 

 

Oleh: Adika Hakmi Ab Ghani