NILAI- Bertemakan “Cakna Kesejahteraan Seksual Anda”, Sexual Wellbeing Seminar 2023 (SWS23) berjaya mencapai objektif yang memberangsangkan apabila seramai 117 peserta yang terdiri daripada ahli akademik, staf professional, pelajar dan orang awam dari pelbagai latar belakang menyertai seminar yang berlangsung di Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan (FKP) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) pada 21 Disember 2023 baru baru ini.
Program ini turut mendapat kerjasama daripada badan-badan NGO seperti Islah Movement dan Malaysian Wellbeing Association, (MA’WA).
Panel penceramah yang pakar lagi terkemuka dalam bidang kesihatan seksual telah dijemput antaranya ialah Dr Ismail Tambi (Pakar Kesihatan Seksual dan Reproduktif) dengan tajuk “Cakna Pengurusan Ketagihan Seksual dan Kesejahteraan Diri”, serta Profesor Madya Dr Roslee Ahmad, Profesor Dr Rafidah Hanim Mokhtar dan Encik Norhisham Mahat dan Dr Abdul Rashid Abdul Aziz selaku moderator dengan tajuk forum “Kesejahteraan Seksualiti, Gangguan Seksual dan Intervensi Menangani”.
Ia merupakan seminar yang julung kali dianjurkan oleh Jawatankuasa Keceriaan Fakulti, Sukan dan Rekreasi (JKFSR), FKP yang membincangkan isu-isu berkaitan seksualiti dan kesihatan seksual yang sering kali berlaku dalam persekitaran kita, selain memberi pendedahan kepada para peserta terhadap kesejahteraan dan kesihatan seksual yang merangkumi perlakuan gangguan seksual di persekitaran kelas, tempat kerja, dan tempat awam serta masalah ketagihan seksual.
Dr. Abdul Rashid bin Abdul Aziz, Pensyarah Kanan FKP selaku Pengarah program berkata, seminar ini bukan sahaja memberi ruang untuk perkongsian ilmu, malah ia turut membina kesedaran dan memupuk pemahaman yang lebih mendalam mengenai kepentingan kesejahteraan seksual dalam masyarakat kita.
“Para peserta juga didedahkan dengan tindakan yang boleh diambil oleh mereka sekiranya mengalami gangguan seksual serta strategi daya tindakan sekiranya individu mengalami masalah ketagihan seksual. SWS23 juga merintis pentas perkongsian ilmu dari pakar yang dijemput untuk memberi maklumat dan berkongsi pengalaman berkaitan kesejahteraan seksual serta penjagaan diri dalam memacu kesejahteraan kendiri secara keseluruhannya”.
Ujarnya lagi, sebagai institusi pendidikan tinggi yang bertanggungjawab dalam membentuk minda generasi masa depan, universiti memegang peranan penting dalam memastikan mahasiswanya memahami kepelbagaian pengalaman dan orientasi seksual yang wujud.
Di akhir seminar ini dapat dirangkumkan bahawa tindakan selanjutnya termasuklah melibatkan pihak berkepentingan dalam memastikan pelaksanaan dasar-dasar yang progresif, serta mendekatkan masyarakat dalam program-program kesedaran perlu dijalankan secara berterusan. SWS23 dilihat sebagai seminar yang berjaya membina rangkaian dan membangunkan sumber daya manusia yang peka terhadap isu-isu seksualiti. Kejayaan ini melambangkan permulaan langkah yang positif ke arah pembentukan masyarakat yang lebih bertanggungjawab dan berpengetahuan dalam aspek kesejahteraan seksual.