NILAI – Selepas 11 tahun Rahmatul Fikri Haidin, 30, akhirnya bergraduasi dalam bidang Sarjana Muda Pentadbiran Muamalat dengan Kepujian pada Majlis Konvokesyen Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) ke-21 sidang kelima yang berlangsung pada 14 Disember 2023.

“Saya mulakan pengajian di USIM pada tahun 2012, dan sepatutnya saya bergraduasi selepas empat tahun, namun pelbagai kekangan ia terpaksa ditangguhkan”.

Rahmatul telah mengikuti semua subjek bagi program pentadbiran muamalat namun masih tidak melengkapkan syarat MUET bagi membolehkannya bergraduasi. Hatinya bagaimanapun terbuka apabila menerima panggilan daripada pihak Universiti untuk membantunya bergraduasi.

“Pada September tahun lepas, Ketua Program Pentadbiran Muamalat Dr. Nur Qamarina sharom menghubungi saya untuk mengambil program Reach Out English for Employment Course yang akan melayakkan saya untuk bergraduasi. Pada mulanya saya tak nak meneruskan pengajian yang dah tertangguh ini kerana saya dah selesa dan berniat untuk menjalankan bisnes sendiri, saya rasa bersyukur dan berterima kasih kepada isteri saya yang juga alumni USIM tahun 2016 yang meminta untuk saya mengambil kos jangka pendek ini, dan hanya diadakan pada setiap hujung minggu secara dalam talian, selama 12 hari, jadi saya sahut semangat beliau”.

“Jiwa saya telah sebati dengan berniaga, dan pernah membuka kiosk Chef Takoyaki di Nilai selama empat tahun, sebelum berhijrah ke Johor Bahru”.

Rahmatul bapa kepada tiga orang cahaya mata, kini bekerja sebagai assistant chef di sebuah restoran terkenal di Singapore, dan bercita- cita untuk membuka restoran beliau sendiri suatu hari nanti.