KUALA LUMPUR – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) cemerlang dengan merangkul kejayaan dalam tiga kategori utama sempena Majlis Anugerah Keusahawanan Kementerian Pendidikan Tinggi 2023 (AKKPT 2023).

USIM berjaya memenangi tempat kedua Kategori B (Anugerah Perusahaan Pelajar Terbaik) oleh Saudari Iman Tasnim Mohd Shaipudin (FPQS); tempat pertama Kategori C (Anugerah Perusahaan Graduan Terbaik) oleh Saudara Muhammad Amirul Aiman Ahmad Zaihan (FSU); dan tempat kedua Kategori E (Anugerah Projek Keusahawanan Sosial Terbaik) oleh Genba Bakery.

Majlis yang berprestij itu telah disempurnakan oleh YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir, Menteri Pendidikan Tinggi di M Resort Hotel, Kuala Lumpur pada 8 Mac 2024 baru-baru ini.

Pemenang Anugerah Perusahaan Graduan Terbaik, Saudara Muhammad Amirul Aiman berkata, kejayaan yang diperolehi membuktikan bahawa setiap individu mampu mencapai impian dengan dedikasi yang berterusan dan sokongan daripada pihak yang betul.

“Saya amat bersyukur sehingga dapat berada di tahap ini. Bagi yang mengenali saya, ramai yang telah memberi tunjuk ajar dan berkongsi ilmu dan ilmu itu saya aplikasikan dalam kehidupan seharian saya. Saya turut mendoakan agar kalian semua diberikan kesihatan berpanjangan dan sentiasa di bawah rahmat Ilahi,” tambah beliau.

Majlis gilang-gemilang ini dianjurkan bertujuan mengiktiraf kecemerlangan Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) serta individu yang memberi sumbangan yang signifikan dalam pembangunan dan pendidikan keusahawanan.

Oleh: Fatin Anis Mahirah Mohammad