KUALA LUMPUR – Sejarah terukir apabila Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) melalui hasil penyelidikan Smart Manufacturing and Advanced Renewable Technology Research Group (SMART RG) dari Fakulti Sains dan Teknologi (FST) dengan kerjasama Pusat Penyelidikan Ibnu Ummi Maktum (UMMI) memperkenalkan Figura 3D Celik Solat Orang Kurang Upaya (OKU) Penglihatan pertama di Malaysia sempena Majlis Perasmian Karnival Minggu Sains Negara (MSN) 2024 yang berlangsung di Atrium, Pusat Sains Negara petang semalam.
Gimik penyerahan Figura 3D Celik Solat OKU Penglihatan tersebut telah disempurnakan oleh Prof. Dato’ Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani, Naib Canselor USIM kepada YB Chang Lih Kang, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) yang turut disaksikan oleh Puan Ruziah Shafei, Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembudayaan Sains), MOSTI; Encik Abdullah Daud, Setiausaha Bahagian Pembudayaan dan Perkhidmatan Sains, Teknologi dan Inovasi (STI), MOSTI; dan Encik Mohammad Fuad Rahman, Pengarah Pusat Sains Negara dalam majlis tersebut.
Bertemakan “Merakyatkan Sains, Menginsankan Teknologi dan Mengarusperdanakan Inovasi”, MSN 2024 mensasarkan penglibatan 600,000 pelajar sekolah, institusi pendidikan tinggi serta masyarakat umum.
“Pelaksanaan Minggu Sains Negara (MSN) adalah selaras dengan Pelan Tindakan Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN) 2021 – 2030 bertujuan untuk meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) melalui usaha bersepadu dengan menggerakkan pelbagai aktiviti berlandaskan STI secara besar-besaran seluruh Malaysia,” kata YB Chang Lih Kang semasa menyempurnakan Majlis Perasmian Karnival MSN 2024.
Figura ini akan dipamerkan di Pusat Sains Negara sebagai salah satu inisiatif infaq dan dakwah USIM kepada seluruh masyarakat di Malaysia terutama komuniti OKU penglihatan.
Oleh: Adika Hakmi Ab Ghani