NILAI– Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) melalui Pusat Penyelidikan Ibnu Ummi Maktum (UMMI) telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) sebagai langkah untuk mendokong usaha pemerkasaan Orang Kurang Upaya (OKU) dan pengupayaan masyarakat yang inklusif. Majlis tersebut telah diadakan pada 11 Julai 2024 bertempat di Executive Lounge, Bangunan Canselori USIM.
Jaringan kerjasama USIM dan PERKESO ini bakal menyumbang ke arah penambahbaikan melalui latihan, kajian dan inovasi kepada kedua belah pihak demi meningkatkan keterlihatan kedua-dua institusi khususnya dalam menguruskan keperluan pencarum dalam kalangan OKU. Melalui usaha ini, USIM akan menawarkan khidmat konsultasi dan kepakaran dalam bidang penyelidikan dan inovasi serta sinergi latihan dan pemindahan ilmu bagi mendepani isu dan cabaran pekerja OKU selaras dengan matlamat PERKESO dan kesejahteraan sosial komuniti OKU.
Berdasarkan perangkaan PERKESO seramai 76,390 individu berjaya kembali bekerja ke dunia pekerjaan selepas menjalani latihan pemulihan sejak program Return to Work (RTW) dilaksanakan pada 2007 hingga Mei 2024, sekali gus membuktikan prinsip ‘no one is left behind’ yang dibawa PERKESO.
Majlis menandatangan ini turut menyaksikan Simbolik Pengenalan Risalah Braille Return To Work (RTW) PERKESO edisi pertama yang diserahkan kepada Dato’ Haji Mah Hassan Haji Omar, Pengarah Urusan KL Braille Resources.
Program RTW ini merupakan program pengurusan hilang upaya yang dilaksanakan oleh PERKESO dalam membantu pencarum yang cedera atau menghidapi penyakit untuk dipulihkan dan kembali semula bekerja.
Majlis menandatangani MoU ini telah disempurnakan oleh Profesor Dato’ Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani, Naib Canselor USIM dan Dato’ Sri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PERKESO. Turut hadir di majlis tersebut ialah ahli Jawatankuasa Pengurusan Universiti (JKPU) USIM dan Pengurusan PERKESO.
Sumber: Khairunnisa Ismail