NILAI – Seramai 26 mahasiswa program Teknologi Kimia Industri, Fakulti Sains dan Teknologi (FST), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah menganjurkan program “Little Detective Science Camp” bertempat di Kompleks Islam Tunku Muhriz (KITM), pada 10 Mei baru-baru ini.

Program julung kali anjuran Industrial Chemical Student Society (ICSS) sesi 2024/2025 dengan kerjasama FASTLAB USIM itu berjaya menghimpunkan 41 pelajar sekolah rendah berusia antara 7 hingga 12 tahun dari sekitar Negeri Sembilan, Selangor dan Wilayah Persekutuan Putrajaya. Antara sekolah yang terlibat ialah Sekolah Kebangsaan Desa Cempaka, Sekolah Kebangsaan Nilai Impian, Sekolah Jenis Kebangsaan (Tamil) Nilai dan Sekolah Rendah Islam Integrasi Tahfiz Darul Ulum.

Bertemakan “Detektif Cilik”, program ini bertujuan menanam minat awal terhadap bidang sains melalui pendekatan pembelajaran berasaskan penyiasatan, eksperimen dan permainan interaktif. Peserta dibimbing menyelesaikan ‘misteri sains’ menggunakan kemahiran pemerhatian dan penyelidikan secara praktikal.

“Little Detective Science Camp USIM” Cungkil Minat Sains Kanak-Kanak dengan Cara Seronok dan Interaktif

Program ini turut memberi pendedahan kepada bidang STEM secara menyeronokkan, di samping mengasah kemahiran seperti pemikiran kritikal, penyelesaian masalah dan kerja berpasukan. Lebih menarik, para peserta berpeluang merasai suasana pembelajaran ala universiti, sekali gus membina aspirasi untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang sains.

Menurut Penasihat Program, Dr. Nur Atiqah Nasir, program ini adalah langkah terbaik untuk mendekatkan bidang sains dengan kanak-kanak secara mesra dan mudah difahami.

“Kanak-kanak mempunyai rasa ingin tahu yang tinggi. Aktiviti hands-on membolehkan mereka belajar secara langsung dan mengaitkan konsep sains dengan kehidupan harian,” jelas beliau.

Antara aktiviti yang dilaksanakan termasuk eksperimen forensik asas seperti mengesan cap jari, analisis DNA, corak darah, ujian pH dan kesan tapak kaki. Peserta perlu melengkapkan lima modul sebelum berjaya menyelesaikan ‘kes misteri’. Setiap peserta menerima kit detektif lengkap dengan kanta pembesar, sarung tangan, pelitup muka, buku siasatan dan bahan eksperimen.

Program ini turut menerima maklum balas positif daripada ibu bapa. Puan Nurul Huda Ab. Rahman, ibu kepada peserta berumur 8 tahun, berkata,

“Anak saya sangat teruja belajar ilmu baru. Balik rumah pun tak habis bercerita tentang cap jari dan bagaimana dia ‘menyelesaikan kes’. Saya berterima kasih kepada USIM atas penganjuran program yang sangat menarik dan bermanfaat ini.”

Program Little Detective Science Camp membuktikan bahawa sains bukanlah sesuatu yang membosankan. Dengan pendekatan yang menyeronokkan dan praktikal, ilmu sains boleh menjadi pengalaman yang mengujakan dan mencetuskan impian besar dalam diri anak-anak sejak usia muda.

Oleh: Nursyaza Aqilah Mohd Shahimi