NILAI – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menerusi Pusat Penyelidikan Ibnu Ummi Maktum (UMMI) hari ini mencipta sejarah apabila melancarkan eBrelle, komputer riba pertama di Malaysia khusus untuk komuniti OKU Penglihatan yang dibangunkan bersama EDOTE Sdn. Bhd yang berlangsung di Executive Lounge USIM sebentar tadi . Produk inovasi ini turut mendapat pengiktirafan dan piawaian dari SIRIM QAS International.

Majlis pelancaran eBrelle turut menyaksikan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara USIM dan EDOTE Sdn Bhd, mengukuhkan kerjasama strategik dalam pembangunan teknologi Braille berasaskan kecerdasan buatan (AI), khususnya dalam menghasilkan kandungan pembelajaran digital Islamik seperti modul Iqra’ Braille.

Naib Canselor USIM, Profesor Dato’ Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani, menyifatkan pelancaran ini sebagai lambang komitmen universiti dalam menjunjung prinsip keterangkuman dan pendidikan untuk semua.

“Dengan termeterainya MoU ini, USIM akan menyumbang dari segi kandungan pembelajaran yang selari dengan keperluan komuniti OKU Penglihatan, manakala EDOTE Sdn Bhd akan membangunkan dan memasarkan produk digital Braille ini. Inisiatif ini menyemarakkan aspirasi USIM Cemerlang, USIM Disayang,” katanya.

USIM–EDOTE lancar eBrelle: Komputer Riba Braille Pertama Malaysia Tembusi Pasaran Global

eBrelle bukan sahaja membolehkan komuniti OKU Penglihatan mengakses ChatGPT dan AI generatif secara terus, malah menggantikan kamus Braille fizikal setebal 35 jilid. Peranti ini turut dilengkapi dengan teknologi penterjemahan imej yang mampu menyampaikan maklumat visual dalam bentuk Braille.

Lebih membanggakan, produk ini telah berjaya menembusi pasaran antarabangsa dan kini dieksport ke Kanada, Amerika Syarikat, dan United Kingdom, sekali gus membuktikan bahawa inovasi tempatan mampu bersaing di peringkat global.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif EDOTE Sdn Bhd, Dr. Nor Afifah Shabani, berkata sinergi bersama USIM ini adalah langkah penting dalam menjamin kesaksamaan hak dan peluang kepada OKU penglihatan.

“eBrelle akan membantu mereka memahami maklumat semasa termasuk dalam bentuk imej yang sebelum ini sukar diakses – menjadikan mereka setanding dengan masyarakat umum,” ujarnya.

Majlis turut diserikan dengan penyampaian Sijil Certificate of Conformity (COC) oleh Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif SIRIM QAS International Sdn Bhd, Ts. Md. Adha Katni @ Rahmat, membuktikan bahawa eBrelle memenuhi piawaian keselamatan dan kualiti yang ditetapkan.

Sebagai simbolik sokongan terhadap inisiatif OKU Penglihatan, turut diadakan Program Solat Jumaat Pimpinan OKU yang dikendalikan sepenuhnya oleh OKU Penglihatan, diketuai Penolong Pengurus Alfitrah Foundation, Ustaz Abdul Majid Mohd Yusoff.

Pelancaran ini sekali gus mengangkat martabat inovasi inklusif negara dan membuktikan bahawa teknologi boleh menjadi jambatan kepada keadilan sosial dan pendidikan sejagat.