NILAI – Demi memastikan kebajikan dan keselesaan warga kampus sentiasa menjadi keutamaan, Pusat Perumahan Pelajar (PRUPEL) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) mengambil inisiatif menyediakan kemudahan laluan pejalan kaki berbumbung di Kolej Kediaman 1 (KK1).
Projek ini berjaya direalisasikan melalui kerjasama strategik Pusat Wakaf & Zakat (PWZ) USIM dan Jabatan Pembangunan dan Penyelenggaraan Fasiliti (JPPF), dengan kos keseluruhan projek berjumlah RM100,000.00 yang telah diluluskan oleh PWZ pada Mac 2024.
Laluan berbumbung sepanjang 136 meter yang menghubungkan blok kolej kediaman ke perhentian bas di laluan utama kampus pada asalnya merupakan cadangan yang diusulkan oleh Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dan Jawatankuasa Kebajikan Siswa/I Kolej Kediaman (JAKSA) KK1 kepada pihak universiti. Ia bagi memenuhi keperluan keselamatan, keselesaan serta kesejahteraan pelajar yang tinggal di KK1 yang sebahagian besarnya menggunakan kemudahan bas universiti.sebagai pengangkutan utama untuk ke kuliah setiap hari.
Majlis perasmian laluan berbumbung ini telah disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) USIM, Prof. Madya Dr. Mushaddad Hasbullah. Dalam ucapannya, beliau menegaskan komitmen pihak universiti dalam memberikan kemudahan terbaik kepada pelajar.
“Kebajikan pelajar adalah teras kepada Keluarga HEPA. Laluan ini dibina demi memastikan pelajar selesa dan selamat. Banyak lagi inisiatif akan dilaksanakan untuk terus memelihara kesejahteraan pelajar USIM”, ujarnya.
Tambahnya lagi “Projek pembinaan laluan berbumbung ini telah bermula pada Disember 2024 dan berjaya disiapkan sepenuhnya pada Julai 2025. Saya melihat melalui projek infrastruktur tambahan ini, ia secara langsung melindungi pelajar daripada panas terik dan hujan, sekaligus memastikan pergerakan antara asrama dan fasiliti kampus menjadi lebih selesa dan teratur” katanya.
Bagi menyerikan majlis, PWZ USIM turut mengagihkan 50 pek makanan kepada pelajar KK1 sebagai tanda penghargaan dan simbol kepedulian terhadap kehidupan mereka di kampus. Menurut Pengarah PRUPEL, Yang Mulia Raja Mariam Raja Mohd Esa, inisiatif ini sebagai bukti keberkesanan kerjasama erat antara pentadbiran universiti, MPP, JAKSA KK1 dan pihak berkepentingan. “Kita mahu setiap pelajar USIM merasai nikmat belajar dalam suasana kampus yang kondusif, selamat dan sejahtera,” ujarnya.
Seperti peribahasa “Bulat air kerana pembetung, bulat kata kerana muafakat”, projek ini adalah bukti nyata bahawa sokongan padu pelbagai pihak mampu menjayakan agenda kebajikan pelajar. Laluan berbumbung KK1 bukan sekadar infrastruktur fizikal, tetapi lambang kesungguhan USIM menyediakan persekitaran pembelajaran dan kampus yang terbaik untuk para pelajar.
Oleh: Muhamad Ikmal Firdaus Mustafa Esa