KOTA KINABALU – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Universiti Malaysia Sabah (UMS) memeterai Memorandum Perjanjian (MOA) bagi pelaksanaan Program Diploma Amalan Kehakiman dan Guaman Syarie (DIJAP) secara pesisir di Kampus UMS, sekali gus membuka peluang lebih luas kepada pelajar di Zon Sabah dan Sarawak untuk melanjutkan pengajian dalam bidang kehakiman dan guaman syarie .
Majlis menandatangani perjanjian yang berlangsung di Bilik Mesyuarat Lembaga Eksekutif, Bangunan Canselori UMS pada 26 September 2025 itu, dihadiri oleh Naib Canselor USIM, Prof. Dato’ Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani dan Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kassim Mansur.
Menurut Prof. Dato’ Ts. Dr. Sharifudin, pelaksanaan program ini adalah hasil inisiatif bersama antara Fakulti Syariah dan Undang-Undang (FSU) USIM dan Fakulti Pengajian Islam UMS, sebagai usaha memperkukuh akses pendidikan tinggi Islam di Malaysia Timur.
“Program DIJAP ini bukan sekadar memenuhi keperluan akademik, tetapi juga tuntutan industri dalam profesion kehakiman dan guaman syarie. Ia melatih pelajar agar kompeten, beretika dan mahir dalam tatacara mahkamah syariah, selain memahami sistem perundangan Islam yang diamalkan di Malaysia,” jelas beliau.
Beliau turut memaklumkan bahawa pengambilan pertama program DIJAP secara pesisir di UMS telah bermula pada Semester I, Sesi Akademik 2024/2025, melibatkan 47 orang pelajar yang dijangka bergraduasi pada penghujung tahun ini. Program ini mendapat akreditasi MQA sejak tahun 2013 dan pengiktirafan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) pada tahun 2009.
“USIM amat menghargai komitmen UMS dalam menyediakan kemudahan pembelajaran kondusif kepada pelajar-pelajar DIJAP. Kerjasama strategik ini diyakini akan menjadi pemangkin kepada pengukuhan kapasiti profesional dalam bidang kehakiman dan guaman syarie di Negeri Sabah demi kemaslahatan ummah dan pembangunan sistem perundangan Syariah negara,” tambah beliau.
Program DIJAP yang diperkenalkan USIM sejak tahun 2005/2006 telah melahirkan ramai graduan berpotensi untuk beramal sebagai peguam syarie dan pegawai kehakiman syariah. Kursus yang ditawarkan merangkumi aspek penting seperti tatacara mahkamah syariah, undang-undang keluarga Islam, perundangan jenayah, etika guaman, serta pengurusan firma guaman.
Keunikan pelaksanaan DIJAP di Kampus UMS terletak pada pendedahan terhadap enakmen-enakmen Syariah Negeri Sabah dan amalan Mahkamah Syariah Negeri Sabah, menjadikannya lebih relevan dengan konteks perundangan tempatan.
Mengakhiri ucapan, Prof. Dato’ Ts. Dr. Sharifudin merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan pemeteraian MOA ini.
“Semoga kolaborasi strategik ini menjadi contoh kerjasama berimpak tinggi antara universiti awam yang memperkukuh pembangunan modal insan dalam bidang syariah, sekali gus memperkasakan sistem kehakiman Islam di Malaysia,” katanya.
Dalam pada itu, di lokasi berbeza turut diadakan 5th International Halal Management Conference dan juga pelancaran Buku Panduan Konsep Pembangunan Halal Hub.