KUALA LUMPUR  – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) meneruskan komitmen menyantuni masyarakat melalui Jaulah Sukarelawan USIM 2025: Semarak Siswa Madani (Chapter Kuala Lumpur) bertemakan “USIM Living Lab 3.0” yang diadakan di Yayasan Chow Kit (YCK), Kuala Lumpur.

Program disempurnakan oleh Yang Amat Mulia Tunku Zain Al-‘Abidin ibni Tuanku Muhriz, Pro-Canselor USIM, dengan kehadiran Naib Canselor, Prof. Dato’ Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani, ahli Lembaga Pengarah Universiti serta rakan strategik universiti.

Naib Canselor menjelaskan bahawa konsep Living Lab menjadikan dunia luar sebagai “makmal hidup” di mana pelajar mempraktikkan ilmu Naqli dan Aqli bersama masyarakat. Beliau berkata, inisiatif ini menyatukan kepakaran pelbagai bidang seperti pergigian, perubatan, psikologi, kaunseling, fiqh, teknologi dan seni budaya bagi memberi manfaat kepada komuniti yang memerlukan.

Pro-Canselor USIM, YAM Tunku Zain, pula menzahirkan rasa bangga terhadap semangat kesukarelawanan warga USIM yang menjadikan ilmu sebagai wahana khidmat dan kasih sayang kepada masyarakat. Baginda menekankan bahawa inisiatif Living Lab ini mencerminkan komitmen USIM terhadap Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) serta pendekatan pendidikan holistik berteraskan rahmah dan tanggungjawab sosial sejagat.

Program ini turut menyaksikan peluncuran buku “Smiles of Hope: Oral Health Care for the Homeless” terbitan Fakulti Pergigian (FPg) USIM, yang mendokumentasikan usaha para sukarelawan membawa sinar penjagaan kesihatan mulut kepada komuniti gelandangan di sekitar ibu kota. Buku tersebut melambangkan semangat rahmah dan nilai kemanusiaan yang diterapkan dalam pendidikan di USIM.

Selain menjalankan aktiviti pemeriksaan kesihatan, kaunseling, bimbingan motivasi dan program kesenian, pelajar juga berpeluang memahami realiti kehidupan masyarakat bandar melalui interaksi langsung bersama komuniti terpinggir. Pendekatan ini memperkukuh usaha USIM dalam melahirkan mahasiswa yang bukan sahaja cemerlang akademik, tetapi turut memiliki empati, jiwa ihsan dan kesedaran sosial yang tinggi.

Program anjuran Kluster Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) dengan penglibatan pelbagai fakulti serta badan pelajar ini terus mengukuhkan peranan USIM sebagai university yang menghidupkan ilmu melalui amal dan kasih sayang terhadap masyarakat.

Oleh: Amira Asyikin Razali