NILAI – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) melalui Fakulti Pengajian Bahasa Utama (FPBU) sekali lagi menganjurkan International Language and Education Conference (iLEC 2025), sebuah persidangan dwitahunan yang menghimpunkan lebih 100 penyertaan dari kalangan sarjana bahasa dan pendidikan dari seluruh dunia termasuk China dan Bangladesh. Persidangan selama dua hari ini berlangsung bermula pada 17 hingga 18 November 2025 di FPBU, USIM.
Bertemakan “Empowering Language and Education to Develop the Madani Generation in the Era of Artificial Intelligence”, iLEC 2025 memberi fokus kepada peranan bahasa, pedagogi dan penyelidikan pendidikan dalam membentuk generasi Madani yang progresif, kritis, beretika dan bersedia menghadapi cabaran kecerdasan buatan (AI).
Persidangan ini juga memberi ruang kepada para peserta membina jaringan profesional merentas negara dan disiplin. Pakar-pakar bahasa dan pendidikan turut dijemput membentangkan wacana terkini berkaitan pendidikan, teknologi AI, literasi bahasa serta pembinaan masyarakat global yang Madani.
Tahun ini, iLEC 2025 turut menerima sokongan antarabangsa menerusi kerjasama sebagai penganjur bersama oleh University of Anbar, Iraq, sekali gus memperkukuh jaringan akademik antara Malaysia dan Timur Tengah.
Antara objektif utama persidangan ini adalah sebagai medan pertukaran idea, teori, teknik dan pengalaman dalam pendidikan dan Bahasa, selain mengupas isu kritikal era teknologi dan AI yang memberi kesan terhadap pedagogi, penyelidikan dan pembangunan generasi muda.
Menurut Pengarah Bersama iLEC 2025, Dr. Habibah Ismail dan Dr. Farah Nadia Harun, iLEC 2025 membawa kelainan yang signifikan dengan memperkenalkan Action Research for Innovation and Sustainability in Education (ARISE) 2025 iaitu Pertandingan Kajian Tindakan memberi peluang kepada penyelidik mempamerkan hasil kajian tindakan inovatif selaras dengan keperluan pendidikan masa kini.
“iLEC 2025 juga menyediakan platform pembentangan maya untuk penyelidik antarabangsa, sejajar dengan perkembangan teknologi. Kerjasama bersama University of Anbar, Iraq merupakan pengalaman istimewa yang memperkukuh rangkaian global FPBU dan USIM”.
“Saya berharap iLEC 2025 terus menjadi persidangan berprestij yang memberi manfaat kepada seluruh ekosistem bahasa dan pendidikan, bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di peringkat antarabangsa. Segala dapatan, wacana dan inovasi hasil persidangan ini diyakini dapat menyumbang kepada pembangunan generasi Madani yang bercirikan keseimbangan ilmu, nilai dan kemahiran kontemporari dalam menghadapi era kecerdasan buatan”, ujarnya lagi.
Sejak dianjurkan pada tahun 2013, iLEC menjadi platform penting yang menghubungkan ilmuan, ahli akademik, pelajar, penyelidik dan pengamal industri bagi memperkukuh wacana pendidikan dan bahasa.



