NILAI- Program Komunikasi Media Baharu, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan (FKP), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah menganjurkan forum Break the Silence sebagai platform untuk meningkatkan kesedaran mengenai isu kemanusiaan Palestin serta peranan media baharu dalam menyampaikan maklumat secara beretika dan bertanggungjawab.

Penganjuran forum ini merupakan sebahagian daripada inisiatif akademik dan kesedaran awam sempena INSPIRE 2025: New Media Day, dengan penyertaan lebih 200 orang peserta yang terdiri daripada pelajar USIM pelbagai fakulti, warga staf universiti, orang awam serta pelajar institusi pengajian tinggi awam (IPTA), termasuk 30 orang pelajar dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) Melaka.

Forum ini memberi pendedahan kepada para peserta mengenai realiti semasa konflik di Palestin, cabaran yang dihadapi oleh misi kemanusiaan di peringkat antarabangsa, serta peranan strategik media dan platform digital dalam menyuarakan isu kemanusiaan. Perbincangan turut menyentuh inisiatif seperti Global Sumud Flotilla dan Freedom Flotilla Coalition, yang menjadi simbol solidariti masyarakat antarabangsa terhadap rakyat Palestin.

Forum tersebut menampilkan tokoh berpengalaman dalam bidang kemanusiaan dan komunikasi media, antaranya YBhg. Dato’ (Dr.) Ahmad Sani bin Dato’ Abdul Alim Araby, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MAPIM; Hj. Kamarulzaman bin Shaharul Anwar, CEO MyCARE; serta wartawan Astro Awani, En. Syafik Shukri bin Abdul Jalil. Sesi forum telah dimoderatorkan oleh Prof. Madya Dr. Mohd Faizal Kasmani.

Dalam sesi perkongsian, En. Syafik Shukri menekankan kepentingan generasi muda memanfaatkan kemajuan teknologi digital secara berhemah dalam menyuarakan isu kemanusiaan.

“Generasi muda hari ini mempunyai kelebihan besar dari segi akses dan kemahiran teknologi. Kelebihan ini seharusnya digunakan untuk menyuarakan kebenaran serta menyebarkan kesedaran mengenai isu kemanusiaan, khususnya Palestin, melalui pelbagai platform media sosial,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Program, Muhammad Akmal Zuhdi bin Che Mohd Zaini, berkata forum ini berperanan sebagai ruang pembelajaran yang menghubungkan pengetahuan akademik dengan realiti isu global.

“Forum Break the Silence bukan sekadar program wacana, sebaliknya merupakan satu usaha pendidikan bagi membentuk kesedaran, empati dan tanggungjawab sosial dalam kalangan mahasiswa terhadap isu kemanusiaan sejagat,” katanya.

Penganjuran forum ini selari dengan aspirasi USIM dalam melahirkan graduan yang holistik, berdaya saing dan peka terhadap isu semasa di peringkat global, di samping mampu memanfaatkan media baharu sebagai medium advokasi yang beretika dan bertanggungjawab.

Program ini diharap dapat menjadi pemangkin kepada lebih banyak inisiatif berteraskan kesedaran kemanusiaan serta wacana intelektual dalam kalangan warga universiti dan masyarakat setempat.

Oleh: Muhammad Akmal Zuhdi bin Che Mohd Zaini