NILAI – Seramai 95 orang Pegawai Kadet peringkat Intermediate dan Senior Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah terlibat dalam Temuduga Lembaga Kenaikan Peringkat dan Kenaikan Pangkat (LKP) sebagai sebahagian daripada proses penilaian kenaikan peringkat dan kenaikan pangkat PALAPES USIM bagi Tahun 2026.
Proses temuduga ini bertujuan menilai tahap kepimpinan, disiplin, integriti, keyakinan diri serta kefahaman calon terhadap peranan dan tanggungjawab sebagai Pegawai Kadet, khususnya dalam kalangan calon yang bakal memegang jawatan kepimpinan (Rank Holder) dalam organisasi PALAPES USIM.
Temuduga LKP ini telah dikendalikan oleh tujuh (7) orang ahli panel yang terdiri daripada empat (4) Pegawai dan tiga (3) anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) Pasukan PALAPES USIM, dan dipengerusikan oleh Ketua Jurulatih PALAPES USIM, Mej Noor Efendy bin Hj Samih.
Menurut Mej Noor Efendy Hj Samih, pelaksanaan Temuduga LKP ini turut menyokong aspirasi universiti selaras dengan Amanat Naib Canselor menerusi Teras Ke-3, yang memberi penekanan kepada pembangunan kesejahteraan dan kesihatan holistik dalam melahirkan warga USIM yang seimbang, berdisiplin dan berdaya kepimpinan. Di samping itu, pelaksanaan ini juga mendukung Perintah Ulung Panglima Latihan Tentera Darat Ke-24, khususnya dalam aspek pembentukan sahsiah perwira dan kepimpinan berteraskan nilai murni.
“Antara fokus utama penilaian adalah keupayaan calon mengendalikan Pegawai Kadet bawahan, membuat keputusan berlandaskan disiplin ketenteraan, mengurus konflik serta mempamerkan kepimpinan melalui teladan. Soalan temuduga turut menilai tahap kematangan, kecekapan komunikasi serta kesediaan calon untuk memikul tanggungjawab yang lebih besar sejajar dengan peranan kepimpinan yang bakal diamanahkan”, katanya.
“Proses temuduga ini menjadi platform penting bagi memastikan hanya Pegawai Kadet yang benar-benar berdisiplin, berintegriti dan berwibawa dinilai layak untuk menjadi pemegang jawatan (Rank Holder), selain memastikan mereka bersedia untuk dinaikkan ke peringkat seterusnya selaras dengan struktur dan hierarki PALAPES”, ujarnya lagi.
Secara keseluruhannya, Temuduga LKP PALAPES USIM telah dilaksanakan dalam keadaan terkawal, teratur dan berdisiplin, sekali gus mencerminkan tahap komitmen serta profesionalisme tinggi yang ditunjukkan oleh Pegawai Kadet PALAPES USIM sepanjang proses penilaian dijalankan.



