Dr. Siti Suriani Othman
Dr. Siti Suriani Othman Pensyarah Kanan, Program Komunikasi, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, USIM

Tidak lama dulu, video di media sosial tular memaparkan seorang pelajar Orang Kurang Upaya (OKU) mental dari kampus awam di negeri selatan Malaysia yang menghadapi kesukaran besar mencari akses masuk ke bangunan kuliah kerana lif rosak. Kecewaannya menjadi cerminan bahawa walau banyak dasar sudah wujud untuk menyokong dan memperkasa golongan OKU, pelaksanaan dan perhatian terhadap OKU masih ada yang terlepas pandang. Kejadian seperti ini memancing reaksi masyarakat bahawa universiti dan pihak berkepentingan perlu lebih serius dalam memastikan kampus benar-benar mesra OKU.

Dalam pada itu, di pihak kerajaan, permohonan Bantuan Kewangan Orang Kurang Upaya (BKOKU) dan Program Pendidikan Khas bagi pelajar baharu sesi 2025/2026 dibuka oleh Kementerian Pengajian Tinggi, menunjukkan wujud komitmen untuk meringankan beban kewangan pelajar OKU yang ingin melanjutkan pengajian tinggi.

Walaupun kad OKU dan bantuan kewangan tersedia, pelajar OKU tetap menghadapi pelbagai halangan. Antaranya:

  • Akses fizikal ke bangunan kuliah, makmal, tandas dan infrastruktur kampus sering tidak mesra OKU.
  • Perkhidmatan sokongan seperti tutor khas, nota audio, alat bantu pembelajaran kurang tersedia di beberapa IPT.
  • Kos hidup dan pengangkutan boleh menjadi beban tambahan, terutama bagi OKU di luar bandar atau yang memerlukan penjaga atau bantuan khusus.
  • Stigma sosial dan kurang kefahaman dalam kalangan warga universiti dan rakan pelajar boleh menjejaskan semangat OKU untuk terus belajar.

Dalam cabaran semasa ini, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) konsisten menunjukkan keprihatinan terhadap komuniti Orang Kurang Upaya (OKU) melalui pelbagai inisiatif yang inklusif. Antara program yang pernah dianjurkan termasuklah Hari Menyantuni OKU 2023 dengan pameran Braille dan forum kesedaran, Program Lawatan Khidmat Ummah 2024 bersama pelajar OKU penglihatan, serta kerjasama dengan NGO sejak 2019 bagi memperkasa pendidikan al-Quran menggunakan Braille dan teknologi mesra OKU. USIM turut menawarkan kursus Braille sejak 2008 melalui Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah, memperkenalkan sesi pengajaran bahasa isyarat kepada pelajar baharu pada Minggu Orientasi 2024, serta menyediakan bantuan kewangan khusus kepada pelajar Tamhidi OKU pada 2025. Usaha berterusan ini menegaskan peranan USIM sebagai universiti Islam yang bukan sahaja menekankan kecemerlangan akademik, malah mendukung agenda kesejahteraan dan inklusiviti masyarakat. Selain itu, projek-projek komuniti dimana pelajar OKU dan bukan OKU bekerja bersama dalam aktiviti kampus boleh memupuk kasih sayang, persefahaman dan tolak stigma.

Universiti Islam juga harus aktif dalam penyelidikan dan penerbitan tentang pengalaman OKU  dari segi cabaran psikologi, akses dan diskriminasi tidak langsung. Dengan data empirikal, universiti boleh mencadangkan dasar kepada kerajaan atau pihak pengurusan kampus sendiri.

Selain itu, pensyarah, kakitangan universiti, dan rakan pelajar perlu diberi latihan bagaimana berinteraksi dengan OKU secara hormat dan menyokong. Kesedaran tentang istilah sensitif, etika, keperluan khas OKU, dan kepentingan menyokong akses sama rata boleh mengubah budaya kampus ke arah lebih inklusif.

Di sini, Universiti Islam di Malaysia mempunyai kedudukan unik iaitu selain pendidikan akademik, mereka membawa tradisi nilai Islam seperti kasih sayang, keadilan dan bantuan kepada yang lemah. Dengan mengambil langkah konkrit membaiki infrastruktur, memperluas sokongan akademik dan kewangan, serta menjalankan program outreach, universiti Islam boleh menjadi pencetus perubahan dalam memastikan OKU tidak tertinggal dalam kerakusan dunia moden hari ini.

Masalah video lif rosak, akses fizikal yang kekurangan, bukan sahaja soal teknikal tetapi soal maruah dan hak asas OKU. Jika universiti tidak mampu menjamin akses asas, tanggungjawab itu tidak boleh diserahkan sepenuhnya kepada kerajaan iaitu perguruan tinggi harus turun padang, mendengar suara OKU, dan bertindak.

Akhirnya, memperkasakan OKU bukan hanya indikator pencapaian sosial, tetapi refleksi sebenar jurang kemanusiaan dan sejauh mana kita sebagai masyarakat menghargai kesaksamaan. Universiti Islam boleh menjadi contoh, bahawa keadilan untuk semua termasuk OKU adalah bukan sekadar slogan, tetapi amalan.