Prof. Dr. Mushaddad Hasbullah
Prof. Dr. Mushaddad Hasbullah Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni)

Pelancaran Rancangan Pendidikan Negara (RPN) 2026–2035 baru-baru ini merupakan satu berita gembira yang membawa sinar harapan baharu kepada ekosistem pendidikan tinggi negara. Sebagai sebuah institusi yang mementingkan keseimbangan ilmu Naqli dan Aqli, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menyambut baik perancangan strategik ini yang dilihat sangat dekat dengan denyut nadi mahasiswa, khususnya dalam aspek kebajikan serta akses kepada pendidikan yang inklusif.

Salah satu aspek yang paling menyentuh hati dan wajar diberi pujian ialah komitmen kerajaan yang dizahirkan melalui prinsip “Tiada Yang Tertinggal”. Melalui RPN 2026–2035, kuota penerima pendidikan percuma atau bantuan biasiswa melalui Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bagi pelajar daripada keluarga miskin tegar telah ditingkatkan secara signifikan, iaitu daripada 5,800 orang kepada 10,000 orang. Inisiatif ini merupakan satu langkah proaktif dalam meruntuhkan tembok kemiskinan melalui pendidikan, sekali gus membuka peluang yang lebih luas kepada pelajar berpotensi untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

Lebih membanggakan, kerajaan turut menunjukkan keprihatinan yang tinggi terhadap golongan Orang Kurang Upaya (OKU). Melalui rancangan ini, yuran pengajian bagi 3,000 pelajar OKU di seluruh institusi pengajian tinggi awam (IPTA), politeknik dan kolej komuniti akan dikecualikan sepenuhnya. Di USIM, inisiatif ini dilihat sebagai satu galakan besar kepada mahasiswa OKU untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan akademik tanpa perlu dibebani kebimbangan terhadap kekangan kewangan.

Sebagai pihak yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal pelajar, isu penginapan sentiasa menjadi antara keutamaan utama. Justeru, pengumuman mengenai inisiatif “Hostel Pelajar Selesa amatlah dihargai. Kerajaan komited untuk menangani isu penginapan pelajar dengan menyediakan sebanyak 5,000 unit penginapan tambahan di IPTA melalui kerjasama strategik bersama Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC).

Apa yang lebih penting, jaminan bahawa kadar yuran penginapan tidak akan membebankan mahasiswa merupakan satu kelegaan besar bukan sahaja kepada pelajar, malah kepada ibu bapa dan penjaga. Hakikatnya, penginapan yang selesa, selamat dan berdaya huni memainkan peranan penting dalam menyokong kesejahteraan mental, emosi dan fizikal mahasiswa, seterusnya membantu mereka memberi tumpuan sepenuhnya kepada pembelajaran dan pembangunan diri.

Pihak USIM, khususnya Pejabat Timbalan Naib Canselorr (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) serta Kerajaan Malaysia atas visi yang inklusif dan berpandangan jauh ini. RPN 2026–2035 bukan sekadar satu dokumen perancangan, sebaliknya merupakan satu aku janji murni dalam usaha memartabatkan maruah anak bangsa melalui pendidikan.

Kami di USIM komited untuk memberikan sokongan penuh bagi memastikan setiap aspirasi yang digariskan dalam rancangan ini dapat diterjemahkan kepada impak yang nyata buat mahasiswa. Semoga usaha murni ini diberkati Allah SWT dan menjadi pemangkin kepada lahirnya generasi Malaysia yang berilmu, berakhlak dan bersedia menghadapi cabaran masa hadapan.