NILAI – Pengumuman Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026–2035, yang digerakkan melalui Rancangan Pendidikan Negara (RPN) 2026–2035, disifatkan sebagai satu langkah berpijak di bumi nyata dalam menangani cabaran sebenar mahasiswa, khususnya daripada golongan B40.
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menyambut baik hala tuju RPTM yang memberi penekanan jelas terhadap kebajikan pelajar serta kelangsungan akses kepada pendidikan tinggi, termasuk penambahbaikan dasar pembiayaan pendidikan melalui Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN). Pendekatan ini dilihat selari dengan aspirasi Kerajaan MADANI di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, untuk memastikan pendidikan tinggi kekal inklusif, adil dan berperikemanusiaan.
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) USIM, Prof. Dr. Mushaddad Hasbullah, menyifatkan pendekatan yang diketengahkan menerusi RPTM sebagai satu dasar yang memahami realiti mahasiswa, bukan sekadar retorik perancangan.
“Penekanan terhadap kebajikan pelajar B40 serta penambahbaikan pendekatan pembiayaan pendidikan melalui PTPTN adalah langkah penting dalam memastikan pendidikan tinggi tidak menjadi beban kepada pelajar dan keluarga. RPTM melalui RPN ini menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap kesejahteraan mahasiswa sebagai teras pembangunan pendidikan tinggi,” jelas beliau.
Beliau turut menegaskan komitmen USIM untuk terus memperkukuh ekosistem kebajikan pelajar melalui pelbagai inisiatif bersasar, termasuk bantuan kewangan, sokongan kebajikan, pembangunan kebolehpasaran graduan serta program intervensi awal kepada pelajar berisiko, selari dengan matlamat RPTM 2026–2035 yang digerakkan melalui RPN 2026–2035.
Sementara itu, Yang DiPertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) USIM, Nik Faruqi Naim Mohd Fauzi, menyambut baik pengumuman tersebut dan melihatnya sebagai satu perkembangan positif yang mengembalikan keyakinan mahasiswa, khususnya daripada keluarga berpendapatan rendah, terhadap masa depan pendidikan tinggi negara.
“MPP USIM berharap agar pelaksanaan inisiatif di bawah RPTM melalui RPN dapat diterjemahkan secara menyeluruh di peringkat kampus, supaya manfaatnya dapat dirasai secara nyata oleh setiap pelajar B40, bukan sahaja dari segi kewangan, malah dari sudut motivasi, kesejahteraan mental dan peluang pembangunan diri,” ujarnya.
USIM yakin bahawa pelaksanaan RPTM 2026–2035 melalui RPN 2026–2035 yang meletakkan kebajikan mahasiswa sebagai teras akan menjadi pemangkin kepada pembangunan modal insan yang holistik, seimbang dan berdaya saing, selaras dengan nilai Maqasid Syariah serta aspirasi negara dalam melahirkan generasi terpelajar yang berdaya tahan dan berintegriti.
Oleh: Amira Asyikin Razali