BANGI — Persatuan Cinta Gaza Malaysia (CGM) telah menganjurkan Majlis Pelancaran Perpustakaan Cinta Gaza Malaysia pada  29 Januari 2026 bertempat di Perpustakaan Cinta Gaza Malaysia.

Majlis pelancaran telah disempurnakan oleh Ketua Pustakawan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Datin Nor Azzah Momin.

Jemputan kepada beliau mencerminkan penghargaan dan pengiktirafan terhadap peranan serta komitmen Perpustakaan USIM sebagai rakan strategik yang telah menjalin kerjasama erat bersama CGM dalam pembangunan sistem perpustakaan organisasi itu. Kerjasama tersebut merangkumi aspek pengurusan koleksi, pembangunan sistem maklumat, serta penerapan amalan terbaik perpustakaan akademik.

Menurut Datin Nor Azzah Momin, projek Pengurusan dan Pembangunan Perpustakaan Cinta Gaza Malaysia telah bermula sejak Oktober 2024 dan melibatkan beberapa skop utama, antaranya Latihan Pengurusan Perpustakaan, Pemasangan Sistem Bersepadu Perpustakaan, Latihan Modul Penyelenggaraan Sistem Perpustakaan, serta Perkhidmatan Pengkatalogan Bahan Perpustakaan.

“Inisiatif ini bertujuan memastikan sistem pengurusan perpustakaan yang dibangunkan adalah lebih tersusun, sistematik dan selaras dengan amalan terbaik pengurusan perpustakaan”, ujarnya lagi.

Sokongan berterusan daripada Perpustakaan USIM dilihat sebagai pemangkin penting dalam memperkukuh usaha CGM memartabatkan penyebaran ilmu, di samping menyokong agenda advokasi kemanusiaan yang diperjuangkan oleh persatuan tersebut.

Majlis pelancaran ini diharap dapat menjadi titik permulaan kepada pengembangan peranan perpustakaan sebagai medium pendidikan, peningkatan kesedaran sosial serta penyampaian maklumat yang berkesan kepada masyarakat.