NILAI – Inisiatif MySaveFood anjuran Persatuan Gerakan Pengguna Siswa USIM (GPS) dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) Negeri Sembilan dan Pertubuhan Pemuda Gema Malaysia (GEMA) sekali lagi telah dilaksanakan bermula pada 23 Februari 2026 di Bazar Ramadan berhadapan Lotus Nilai.
Program ini bukan sahaja bertujuan menangani pembaziran makanan dalam kalangan peniaga bazar, malah turut berperanan sebagai platform kebajikan bagi membantu golongan yang kurang bernasib baik di sekitar Nilai.
Seramai 10 orang ahli GPS bersama tiga ahli Kelab Media dan Komunikasi Strategik USIM (StraComm Clique) berganding tenaga mengumpulkan lebihan makanan yang masih elok dan selamat untuk dimakan daripada para peniaga. Makanan yang dikumpulkan akan ditimbang dan direkod secara sistematik sebelum dibungkus dan diagihkan ke beberapa lokasi berbeza setiap hari termasuk kawasan perumahan sekitar Nilai, Pusat Islam USIM serta surau-surau terpilih yang telah diselaraskan oleh pihak GEMA. Pendekatan ini memastikan agihan dilakukan secara lebih tersusun dan menyeluruh.
Menurut Presiden GPS USIM 25/26, Abdul Khaliq Abdul Kadir, inisiatif ini membantu meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap isu pembaziran makanan khususnya sepanjang bulan Ramadan.
“Pendekatan ini merupakan satu langkah yang bijak dan praktikal dalam usaha mengurangkan pembaziran di Malaysia khususnya di kawasan Nilai dalam masa yang sama memberi manfaat kepada masyarakat setempat dengan mengoptimumkan penggunaan makanan yang berlebihan dengan sebaiknya,” katanya.
Sementara itu, salah seorang peniaga bazar, Encik Azmil yang telah hampir sembilan tahun berkecimpung dalam perniagaan restoran dan bazar Ramadan, meluahkan rasa syukur atas pelaksanaan program ini. Menurut beliau, selain mengurangkan pembaziran, para peniaga juga berpeluang menyumbang dan bersedekah kepada golongan memerlukan, khususnya dalam bulan yang penuh keberkatan ini.
Secara keseluruhannya, pelaksanaan inisiatif MySaveFood ini mencerminkan komitmen berterusan pelbagai pihak dalam menangani isu pembaziran makanan dengan efisien dan sistematik. Melalui kerjasama strategik antara persatuan mahasiswa, agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan, lebihan makanan bukan sahaja dapat diuruskan dengan cekap, malah memberi manfaat langsung kepada masyarakat setempat. Usaha ini sekali gus menyemarakkan semangat kebersamaan dan nilai ihsan di dalam bulan Ramadan.
Oleh: Iqbal Ilyas Mohd Nordin, Ihsan Hakim Zefendy, Omar Mukhtar Hishamuddin

