NILAI – Filem pendek Aidilfitri 2026 terbitan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) berjudul “SYUKUR” berjaya mencuri perhatian penonton apabila mencatat lebih 50,000 tontonan dalam tempoh lapan hari sejak ditayangkan di platform rasmi USIMTV di YouTube.

Diterbitkan oleh Pusat Komunikasi Strategik (StraComm) USIM, karya ini mengangkat kisah kehidupan, perjuangan dan rezeki yang hadir tanpa diduga, sekali gus menyampaikan mesej tentang nilai kesyukuran yang sering menjadi inti pati sambutan Aidilfitri.

Filem pendek ini mengisahkan Ahmad, seorang bekas pramugara yang kehilangan pekerjaan akibat pandemik COVID-19. Dalam usaha meneruskan kehidupan, beliau bertemu dengan seorang remaja bernama Haikal, pelajar tahun akhir universiti. Pertemuan tersebut membawa mereka menempuh pelbagai cabaran kehidupan yang akhirnya mengajar mereka tentang erti kesabaran, perjuangan serta pentingnya mensyukuri setiap nikmat yang dimiliki.

Menariknya, filem ini dibintangi oleh penyanyi dan pelakon terkenal, Zarul Umbrella, yang bergandingan dengan Haikal Nazhan, pelajar tahun akhir Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Pengarah filem tersebut, Prof. Madya Dr. Faizal Kasmani, yang juga Pengarah Pusat Komunikasi Strategik (StraComm) USIM, berkata idea mengetengahkan kisah kehidupan rider dalam karya kali ini bertujuan membawa cerita yang lebih dekat dengan realiti masyarakat.

Menurut beliau, isu survival ekonomi yang dihadapi ramai golongan muda menjadi antara inspirasi utama dalam menghasilkan karya tersebut.

“Kita mahu menghasilkan cerita yang relevan dengan kehidupan masyarakat, khususnya dalam kalangan pelajar dan golongan remaja. Isu survival ekonomi adalah antara perkara yang kita hadapi setiap hari. Dari situ timbul ilham untuk menghasilkan cerita berkisar tentang kehidupan rider yang bekerja keras untuk menyara kehidupan,” katanya.

Tambah beliau, proses penggambaran filem pendek ini turut memberikan pengalaman yang sangat bermakna kepada seluruh pasukan produksi.

“Saya sangat bersyukur kerana segalanya dipermudahkan sepanjang penggambaran. Kita mempunyai pelakon utama, Abang Zarul, yang sangat humble dan mudah bekerjasama. Ditambah pula dengan komitmen krew yang hebat, menjadikan proses penggambaran berjalan dengan lancar dan menyeronokkan,” ujarnya.

Pembikinan filem ini melibatkan kerjasama staf StraComm bersama pelajar daripada Kelab Media dan Komunikasi Strategik (StraComm Clique) yang bertindak sebagai tenaga produksi utama.

Filem pendek ini turut mendapat sokongan daripada Ampera Raya sebagai penaja utama, sekali gus membantu menjayakan penerbitan karya kreatif sempena sambutan Aidilfitri tahun ini.

Kejayaan mencapai 50,000 tontonan dalam tempoh singkat membuktikan bahawa karya kreatif yang dekat dengan realiti masyarakat mampu memberi impak kepada penonton, selain memperlihatkan potensi pelajar USIM dalam menghasilkan kandungan kreatif yang bermakna melalui platform digital.

 

Oleh: Muhammad Akmal Zuhdi bin Che Mohd Zaini