BANYUWANGI, INDONESIA – Seramai enam pensyarah daripada Fakulti Ekonomi dan Muamalat (FEM), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah dilantik sebagai Sarjana Tamu (Visiting Scholar) di beberapa institusi pengajian tinggi swasta di Jawa Timur, Indonesia bagi tempoh sebulan bermula 9 Februari hingga 9 Mac 2026.

 

Pelantikan tersebut melibatkan penyertaan dalam International Conference on Humanity, Education and Society (ICHES) Kali Ke-5 serta pelaksanaan siri kolaborasi akademik dan komuniti bersama beberapa institusi pendidikan tinggi, antaranya Universitas Islam KH. Mochtar Syafa’at (UIMSYA) Blok Agung Banyuwangi, Institut Agama Islam At Taqwa Bondowoso, STAI Raya Mloko Jember dan Universitas Islam Syarifuddin Lumajang.

 

Delegasi FEM USIM diketuai oleh Dr. Hanim Misbah dan turut dianggotai oleh Prof. Madya Dr. Ummi Salwa Ahmad Bustamam, Prof. Madya Syahidawati Shahwan, Prof. Madya Dr. Fuadah Johari, Dr. Nuur Halimatus Sa’diah Masrukhin serta Dr. Raihan Nasir.

Sepanjang program berlangsung, enam pensyarah tersebut telah menyampaikan kuliah umum dan syarahan akademik di lima institusi berbeza. Dr. Hanim Misbah turut diberi penghormatan sebagai penceramah utama (keynote speaker) dalam persidangan ICHES 2026, sekali gus memperkukuh reputasi Fakulti Ekonomi dan Muamalat USIM di peringkat antarabangsa.

 

Menurut Ketua Delegasi, Dr. Hanim Misbah, pelantikan sebagai Sarjana Tamu ini bukan sahaja membuka ruang perkongsian kepakaran akademik, malah menjadi platform penting dalam memperluas jaringan kerjasama antara institusi pengajian tinggi di Malaysia dan Indonesia.

 

“Program ini memberi peluang kepada pensyarah USIM untuk berkongsi kepakaran dalam bidang ekonomi dan kewangan Islam di peringkat antarabangsa, selain membuka ruang kepada kerjasama yang lebih luas dalam penyelidikan, mobiliti akademik serta pembangunan komuniti,” katanya.

 

Dalam usaha memperkukuh jaringan strategik, delegasi turut memeterai 21 Letter of Intent (LOI) yang ditandatangani semasa Forum Pimpinan Tapal Kuda anjuran UIMSYA. Pemeteraian ini merangkumi kerjasama dalam bidang penyelidikan bersama, mobiliti pelajar dan pensyarah, penerbitan ilmiah serta penganjuran program akademik rentas negara.

 

Selain agenda akademik, delegasi Islamic Finance and Wealth Management Institute (IFWMI), FEM USIM turut melaksanakan program khidmat masyarakat bersama komuniti Desa Sumbermanggis, Banyuwangi. Program tersebut memberi tumpuan kepada perkongsian kepakaran dalam meningkatkan kebolehpasaran produk tempatan, khususnya industri kopi, batik serta hasil pertanian seperti durian.

 

Perbincangan turut menyentuh pelaksanaan skim koperasi “Merah Putih” yang sedang diperkenalkan oleh kerajaan Indonesia. Komuniti setempat turut mendapatkan pandangan delegasi mengenai model pengurusan koperasi di Malaysia sebagai rujukan dalam memperkasa pembangunan ekonomi masyarakat.

 

Delegasi turut mengadakan empat lawatan industri melibatkan pengusaha batik, perusahaan kopi dan durian, usahawan alumni pesantren serta usahawan mahasiswa di Kampung Bethek. Lawatan ini bertujuan memahami pelaksanaan ekonomi sosial Islam di peringkat akar umbi serta menilai potensi pembangunan komuniti berasaskan nilai syariah.

 

Sebagai sebahagian daripada pengisian program, delegasi turut menyertai aktiviti tadabbur alam di Kawah Ijen, destinasi semula jadi ikonik di Banyuwangi yang terkenal dengan fenomena api biru (blue fire). Aktiviti tersebut menjadi simbol penghargaan terhadap kelestarian alam serta keseimbangan antara pembangunan ekonomi dan kesejahteraan sosial.

 

Program Sarjana Tamu ini dianjurkan dengan sokongan Islamic Finance and Wealth Management Institute (IFWMI), USIM. Secara keseluruhannya, inisiatif ini bukan sahaja memperkukuh hubungan akademik Malaysia–Indonesia, malah memperlihatkan komitmen FEM USIM dalam mengangkat peranan ekonomi dan kewangan Islam sebagai pemangkin pembangunan komuniti serantau Asia Tenggara secara mampan dan inklusif.

Oleh: Prof. Madya Dr. Fuadah Johari