NILAI, (13 APRIL 2026) – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dengan kerjasama strategik Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini meraikan kejayaan seramai 226 graduan Program Eksekutif Pembimbing Ibadat Haji (EPIH) 2026 dalam satu majlis graduasi yang berlangsung di Dewan Kuliah Utama, Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah (FPQS), USIM hari ini.
Program EPIH yang berlangsung dari Januari hingga Mac 2026 merupakan inisiatif akademik hasil kerjasama antara Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan (FKP), USIM dan Bahagian Bimbingan Haji, Lembaga Tabung Haji. Program ini bertujuan melahirkan pembimbing ibadat haji dan umrah yang profesional, berkemahiran tinggi serta berintegriti dalam memastikan kesejahteraan jemaah sepanjang pelaksanaan ibadah.
Majlis turut disempurnakan oleh Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji, Encik Mustakim Mohamad yang menzahirkan penghargaan terhadap kerjasama strategik antara TH dan USIM dalam memperkukuh ekosistem bimbingan ibadah haji negara.
Naib Canselor USIM, Profesor Dato’ Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani dalam ucapannya berkata, program ini mencerminkan komitmen USIM dalam memperkukuh pembangunan modal insan yang bukan sahaja cemerlang dari sudut akademik, malah berteraskan nilai dan integrasi ilmu Naqli dan Aqli.
“Melalui program EPIH, USIM berperanan melahirkan tenaga pembimbing yang bukan sahaja memahami aspek teknikal ibadah haji, tetapi juga memiliki keupayaan membimbing jemaah dengan hikmah, empati dan profesionalisme,” katanya.
Sementara itu, menurut salah seorang graduan EPIH 2026 yang juga merupakan pelajar terbaik kali ini, Nur Hidayah Noordin,37, berkata, pertama kali mengerjakan umrah bersama Ibu pada tahun 2024 menyebabkan beliau nekad untuk menambah ilmu yang mendalam tentang ibadah umrah dan haji ini.
“Saya rasa jahil ketika itu kerana banyak perkara yang saya tidak tahu ketika pertama kali jejakkan kaki di sana. Pulang dari mengerjakan umrah saya mencari platform untuk belajar ilmu umrah dan haji. Saya ambil sijil pengurusan haji dan umrah di akademi mutawwif seterusnya Diploma in Mutawwif dan Islamic tour di UTM Space untuk tambah pengetahuan diri sendiri. Alhamdulillah umrah kedua saya dapat pergi lagi sekali disamping membimbing ahli keluarga yang lain berkat ilmu yang saya belajar”.
“Saya yakin program ini bukan sekadar memberi pendedahan teori, malah membentuk kefahaman mendalam terhadap tanggungjawab sebagai pembimbing ibadat haji yang mampu memastikan jemaah melaksanakan ibadah dengan tenang dan yakin”, ujarnya lagi.
Program EPIH merupakan kesinambungan kepada Program Sijil Pengurusan Ibadat Haji (SPIH) yang telah dilaksanakan sejak tahun 2010, dengan penambahbaikan dari segi kandungan dan pendekatan pembelajaran bagi memenuhi keperluan semasa industri pengurusan ibadah haji dan umrah.
Melalui kerjasama ini, USIM terus komited dalam menyumbang kepakaran akademik dan latihan profesional ke arah memperkasakan pengurusan ibadah haji di Malaysia.
Turut hadir Dekan Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan Prof Madya Dr Mohd Rushdan Mohd Jailani serta pengurusan dari Tabung Haji.



