NILAI – Minat yang dipupuk sejak kecil, bimbingan ibu bapa serta tunjuk ajar berterusan daripada para guru menjadi asas penting kepada kejayaan Cik Hasnul Taqiyuddin Cik Sazali, 25, mahasiswa Program Quran dan Sunnah Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dari Ipoh, Perak, yang dinobatkan sebagai Johan Qari Tilawah al-Quran dan Hafazan Peringkat Kebangsaan 2026 mewakili negeri Perak.

Kejayaan itu amat bermakna buat beliau kerana ia merupakan kali pertama beliau bertanding dan seterusnya meraih kemenangan di peringkat kebangsaan, sekali gus menjadi detik manis dalam perjalanan panjangnya mendalami seni bacaan al-Quran. Beliau membawa pulang hadiah wang tunai RM30,000 termasuk RM10,000 untuk menunaikan haji, piala iringan, dan cenderamata.

Anak kepada Cik Sazali Jaafar, 51, dan Puan Norainon Saad, 47, ini membesar dalam suasana yang dekat dengan al-Quran. Bapanya seorang pegawai polis yang juga merupakan guru mengaji menjadi individu terawal yang banyak membentuk asas pembelajaran beliau, khususnya dalam aspek bacaan dan taranum al-Quran.

Sejak kecil, anak sulung dari tiga beradik ini dididik untuk mencintai al-Quran, bukan sekadar untuk membacanya dengan baik, tetapi turut menghayati keindahan seni lagunya. Didikan awal daripada ayahnya itulah yang menyemai minat mendalam untuk beliau terus belajar, memperbaiki bacaan dan menekuni ilmu tilawah dengan lebih serius.

Bakat dan minat beliau mula terserlah seawal darjah empat apabila mendapat sokongan dan doa ibu dan ayahnya untuk menyertai pertandingan tilawah al-Quran di peringkat sekolah sehingga sekarang.  Penglibatan sejak usia muda itu menjadi titik awal yang membuka ruang kepada beliau untuk terus mengasah potensi dan membina keyakinan dalam bidang tilawah.

Ketika melanjutkan pelajaran di sekolah menengah, beliau terus memperkukuhkan penguasaan al-Quran di bawah bimbingan Ustaz Radzi Kamarul Hailan yang merupakan tenaga pengajar al-quran yang juga pernah menjadi Johan Qari Tilawah peringkat antarabangsa tahun 2000 dan 2004. Tunjuk ajar yang diterima sepanjang tempoh tersebut banyak membantu memperkemas teknik bacaan, taranum serta penghayatan beliau terhadap ayat-ayat suci al-Quran.

“Setiap malam ketika saya berumur 5 tahun saya sering mendengar ayah membaca surah al-Mulk sehingga saya sendiri terikut menghafalnya tanpa paksaan dari ayah. Ayah mengajar kami adik beradik mengaji secara bertaranum, dan itu yang membuatkan saya rasa seronok dan terbiasa dengan bacaan al-quran sejak kecil”, ujar Cik Hasnul.

“Saya juga berpegang dengan kata-kata dari guru saya iaitu ketenangan dalam bacaan itu adalah paling utama, apabila kita tenang kita dapat mempersembahkan bacaan kita dengan baik”, katanya lagi.

Perjalanan beliau dalam bidang tilawah kemudiannya diteruskan di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), apabila beliau mendapat bimbingan daripada Ustaz Anuar Hasin dari Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah (FPQS) sebagai guru pembimbing untuk pertandingan yang disertainya baru-baru ini.

Kejayaan tersebut membuktikan bahawa kecemerlangan dalam bidang al-Quran tidak hadir dalam sekelip mata, sebaliknya lahir daripada didikan yang istiqamah, latihan yang konsisten, kesungguhan menuntut ilmu serta sokongan insan sekeliling yang sentiasa percaya kepada potensi dirinya.

Lebih membanggakan, pencapaian ini bukan sahaja mengharumkan nama beliau sendiri, malah turut menjadi inspirasi kepada generasi muda agar terus mendekati al-Quran dan menjadikannya sebagai panduan hidup. Kisah kejayaan Cik Hasnul Taqiyuddin juga memperlihatkan betapa besarnya peranan institusi keluarga dan guru dalam mencorakkan kecintaan terhadap al-Quran sejak usia muda.

Dalam pertandingan tersebut, Cik hasnul merupakan antara lima mahasiswa USIM yang bertanding mewakili negeri masing-masing. Mereka ialah Saidatunnisa Mohd Baghawi Jalaluddin mewakili Negeri Sembilan, Ustazah Nurul Saadah Mohammad Zaini mewakili negeri Pahang, Nadrah Ahmad Marzuki mewakili Negeri Sembilan dan Mawaddah Mohd Rani mewakili negeri kelantan.