NILAI – Suasana penuh istiadat dan semangat ketenteraan mewarnai Dataran Canselori pada 25 April 2026 baru-baru ini apabila Perbarisan Hari Ulang Tahun (HUT) Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Ke-10 berlangsung dengan penuh gilang-gemilang, menandakan satu dekad kecemerlangan, disiplin dan kesinambungan legasi pasukan.
Perbarisan tersebut disempurnakan oleh Naib Canselor USIM merangkap Komandan PALAPES USIM, Kol (K) Prof. Dato’ Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani. Turut hadir Timbalan Komandan, Lt Kol Rozaimi Kamarudin; Ketua Jurulatih, Mej Noor Efendy Hj Samih; Ketua Penyelaras Teras 3, Dr. Umi Hamidaton Mohd Soffian Lee; serta alumni PALAPES USIM yang turut memeriahkan sambutan.
Perbarisan ini melibatkan kekuatan seramai tiga pegawai, enam Pegawai Sukarela (SUK), 10 Pegawai Muda, 14 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) serta 156 Pegawai Kadet yang mempamerkan tahap disiplin, keseragaman dan ketangkasan tinggi sepanjang acara berlangsung.
Keunikan perbarisan terserlah melalui persembahan dinamik berbentuk formasi human wave, apabila pergerakan anggota dimulakan dengan bunyi siren sebelum Pegawai Kadet berlari masuk dan membentuk barisan secara tersusun serta seragam. Persembahan ini bukan sahaja menarik perhatian, malah mencerminkan tahap koordinasi, kepantasan dan semangat berpasukan yang tinggi dalam kalangan warga PALAPES USIM.
Majlis turut menyaksikan penyampaian anugerah dan sijil penghargaan kepada Pegawai Kadet serta anggota. Seramai 30 Pegawai Kadet menerima Anugerah Dekan atas pencapaian akademik cemerlang bagi Semester 1 Sesi 2025/2026, dengan pencapaian tertinggi PNGS 3.93 oleh KSjn Mohammad Arif Hamdan Ariffin daripada Fakulti Syariah dan Undang-Undang.
Selain itu, sijil penghargaan turut disampaikan kepada tiga anggota tentera iaitu PW II Mohd Riduan Razeme, Kpl Mohd Hadi Milok dan Kpl Norazwan Abdullah yang bakal menamatkan perkhidmatan, sebagai tanda penghargaan atas jasa, komitmen dan sumbangan mereka kepada PALAPES USIM.
Naib Canselor USIM merangkap Komandan PALAPES USIM, Kol (K) Prof. Dato’ Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani dalam ucapannya menegaskan bahawa kehidupan sebagai pelajar universiti, khususnya dalam kalangan Pegawai Kadet PALAPES, sentiasa dibimbing dan dipantau oleh pensyarah serta jurulatih bagi membentuk tahap disiplin yang tinggi.
“Platform yang disediakan di universiti menjadi asas penting dalam membina jati diri kerana selepas tamat pengajian, setiap individu perlu berdikari tanpa bergantung kepada arahan atau pemantauan berterusan. Justeru, disiplin yang dibentuk sepanjang tempoh latihan dan pengajian merupakan bekalan utama dalam menghadapi alam pekerjaan serta cabaran kehidupan sebenar”.
Ujarnya lagi, warga PALAPES perlu menyedari tanggungjawab untuk memberi pulangan kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) atas pelaburan yang telah diberikan dalam bentuk latihan, ilmu pengetahuan dan pendedahan ketenteraan.
Beliau juga berharap agar lebih ramai Pegawai Kadet tampil menyertai ATM sebagai pegawai, sekali gus menyumbang kepada keperluan sumber manusia pertahanan negara. Seruan ini selari dengan semangat penubuhan alumni PALAPES USIM yang menzahirkan kesinambungan hubungan serta sumbangan berterusan kepada pasukan.
Perbarisan ini turut mencerminkan penghayatan terhadap Perintah Ulung Panglima Tentera Darat Ke-31, iaitu “Kemahuan Untuk Menang”, yang terpancar melalui disiplin, keseragaman dan semangat juang tinggi setiap peserta sepanjang perbarisan berlangsung.
Ini selari dengan hasrat USIM dalam menekankan kepentingan pembentukan sahsiah, disiplin kendiri serta keseimbangan antara kecemerlangan akademik dan pembangunan jati diri bagi melahirkan graduan yang holistik, berdaya saing dan bersedia menyumbang kepada agama, bangsa dan negara, malah menjadi manifestasi kepada pembentukan sahsiah, kepimpinan dan semangat berpasukan dalam kalangan Pegawai Kadet.
Sambutan satu dekad ini turut menjadi penanda aras kejayaan PALAPES USIM dalam melahirkan modal insan yang berdisiplin, berintegriti dan mempunyai daya kepimpinan unggul.
Kemuncak perbarisan diserikan dengan gimik pelancaran Logo Alumni PALAPES USIM sebagai simbol penyatuan dan kesinambungan hubungan antara alumni dengan pasukan. Pelancaran ini turut memperkukuh jaringan sokongan, semangat kekitaan serta komitmen berterusan alumni dalam menyumbang kepada pembangunan PALAPES USIM.


