NILAI  – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) terus memperkukuh hubungan strategik bersama agensi keselamatan negara menerusi penganjuran Majlis Penganugerahan Pangkat Kehormat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia yang berlangsung di Bangunan Canselori pada 7 Mei 2026 baru-baru ini.

Majlis berkenaan mencerminkan penghargaan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sembilan terhadap sokongan serta kerjasama erat yang diberikan oleh USIM dalam menjayakan penganugerahan pangkat kehormat jabatan tersebut.

Majlis turut dihadiri oleh YAS Dato’ Sri Ts. Nor Hisham bin Mohammad, Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, yang menerima Hormat Panglima serta menyempurnakan penganugerahan pangkat kehormat berkenaan.

Penganjuran majlis ini bukan sekadar acara istiadat, sebaliknya menjadi simbol hubungan akrab antara universiti dan agensi beruniform dalam memperkukuh nilai kepimpinan, disiplin, kesukarelawanan dan kesiapsiagaan komuniti kampus.

Kerjasama antara USIM dan JBPM juga dilihat selari dengan aspirasi universiti dalam membentuk warga kampus yang bukan sahaja cemerlang dari aspek akademik dan profesional, malah memiliki kesedaran tinggi terhadap aspek keselamatan, tanggungjawab sosial serta khidmat kepada negara.