NILAI – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) terus memperkukuh peranan universiti sebagai pemangkin ilmu kepada masyarakat menerusi penganjuran Karnival ExploreSTREAM 5.0 USIM–Masjid Abu Al-Darda’ (MAAD) yang berlangsung di Masjid Abu Al-Darda’, Nilai Impian pada semalam 1 Julai 2026.
Program berimpak tinggi ini menghimpunkan kira-kira 500 peserta daripada Sekolah Kebangsaan (SK) Nilai Impian dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Nilai Impian, sekali gus menjadi platform pendedahan awal kepada murid sekolah terhadap bidang sains, teknologi, kejuruteraan, seni dan matematik atau STREAM.
Karnival ini turut mencerminkan komitmen USIM dalam memperkasa pelaksanaan Service-Learning Malaysia – University for Society (SULAM), iaitu pendekatan pembelajaran yang menghubungkan ilmu di bilik kuliah dengan realiti kehidupan masyarakat. Melalui pendekatan ini, mahasiswa USIM bukan sahaja mempelajari teori, malah berperanan sebagai pembimbing yang membantu komuniti memahami aplikasi ilmu secara praktikal dan bermakna.
Majlis perasmian karnival telah disempurnakan oleh Naib Canselor USIM, Profesor Dato’ Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani, dengan kerjasama strategik Masjid Abu Al-Darda’. Penganjuran ini turut melibatkan komitmen Pusat Kecemerlangan Pengajaran dan Pembelajaran (CETL), Pusat Pembangunan Kemahiran Insaniah (PPKI), Fakulti Sains dan Teknologi (FST), Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina (FKAB), serta pihak MAAD.
Profesor Dato’ Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani berkata, salah satu signifikan utama penganjuran kali ini ialah sesi pertukaran Letter of Intent (LoI) antara USIM dan Masjid Abu Al-Darda’, yang menjadi asas kepada pengukuhan kerjasama strategik antara universiti, institusi masjid, sekolah dan komuniti setempat. Kerjasama ini membuka ruang pelaksanaan lebih banyak program pendidikan berimpak tinggi pada masa hadapan.
Sepanjang karnival, peserta mengikuti pelbagai aktiviti interaktif, pameran reruai, aktiviti hands-on dan explorace yang dibimbing oleh mahasiswa USIM. Modul yang diketengahkan merangkumi bidang sains, teknologi, agrokimia, kimia air, fizik komputasi, fisiologi, pengurusan risiko dan seni bina landskap. Pendekatan pembelajaran secara pengalaman ini dilihat mampu menyemai minat pelajar terhadap bidang STREAM, di samping membentuk kemahiran abad ke-21 seperti pemikiran kritis, komunikasi, kepimpinan, kerjasama dan penyelesaian masalah.
Bagi mahasiswa USIM pula, karnival ini menjadi medan penting untuk mengasah kemahiran insaniah melalui pengurusan program, bimbingan peserta, pembentangan projek, komunikasi berkesan dan kerja berpasukan. Penglibatan mereka membuktikan bahawa pendidikan tinggi bukan sekadar tertumpu kepada pencapaian akademik, tetapi turut menekankan nilai khidmat, kepimpinan dan kebermanfaatan ilmu kepada masyarakat.
Secara keseluruhannya, Karnival ExploreSTREAM 5.0 USIM–MAAD menjadi manifestasi komitmen USIM dalam melahirkan graduan yang berilmu, beramal dan berbakti, selaras dengan falsafah integrasi ilmu Naqli dan Aqli. Inisiatif ini bukan sahaja memperkukuh hubungan universiti dengan komuniti, malah memberi inspirasi kepada generasi muda untuk meneroka bidang sains, teknologi dan inovasi berteraskan nilai Islam.



