NILAI – Program StraComm FeedForward 2.0: #ScBantuLokal telah berjaya dilaksanakan di sekitar Nilai sebagai inisiatif khidmat masyarakat yang memberi tumpuan kepada usaha memperkasa peniaga tempatan melalui pemasaran digital.
Program ini yang berlangsung pada 27 Jun 2026 baru-baru ini melibatkan seramai 26 ahli StraComm Clique yang turun padang menghasilkan kandungan video promosi bagi membantu meningkatkan pendedahan, capaian pelanggan serta daya saing perniagaan kecil di kawasan sekitar.
Melalui inisiatif ini, para peserta berpeluang mengaplikasikan kemahiran komunikasi, dokumentasi dan penghasilan kandungan media secara langsung bersama komuniti. Mereka menghasilkan video pemasaran kreatif bagi membantu mempromosikan produk, perkhidmatan dan perniagaan tempatan agar lebih dikenali masyarakat.
Selain menghasilkan kandungan promosi, program ini turut memberi pendedahan kepada para peniaga mengenai kepentingan pemasaran digital sebagai medium untuk menarik pelanggan baharu dan memperluas capaian perniagaan melalui platform media sosial.
Inisiatif tersebut bukan sahaja memberi manfaat kepada peniaga dan penjaja tempatan, malah turut memupuk semangat kesukarelawanan, kerjasama berpasukan dan tanggungjawab sosial dalam kalangan ahli StraComm Clique. Program ini juga menjadi jambatan untuk mengeratkan hubungan antara mahasiswa, universiti dan komuniti setempat.
Salah seorang peniaga yang terlibat, Rohani Ismail, 45, yang mengusahakan perniagaan biskut klasik, meluahkan rasa syukur atas usaha StraComm Clique membantu mempromosikan perniagaannya kepada khalayak yang lebih luas.
“Saya berterima kasih dan terharu kerana mereka sudi membantu menarik perhatian pelanggan untuk datang ke kedai saya. Saya berharap bantuan ini dapat memperkenalkan kedai saya kepada lebih ramai orang kerana masih ramai yang belum mengetahui kewujudannya, memandangkan lokasi kedai ini agak jauh dari kawasan utama,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Program, Nur Soffiah Faqiehah Ahmad Bukhori, 24, menyifatkan penganjuran program ini sebagai satu pencapaian baharu buat StraComm Clique kerana berjaya melaksanakan program khidmat masyarakat berteraskan digital.
“Saya sangat gembira kerana ini merupakan program CSR pertama yang dijalankan oleh StraComm Clique. Malah, ia boleh dikatakan antara inisiatif awal di USIM yang mengetengahkan konsep khidmat masyarakat melalui pemasaran digital.
“Kami berusaha membantu peniaga tempatan mempromosikan perniagaan mereka dan saya amat menghargai kerjasama serta komitmen yang diberikan oleh semua ahli StraComm,” katanya.
Penganjuran StraComm FeedForward 2.0: #ScBantuLokal diharap dapat memberi impak positif kepada peniaga tempatan dalam memperluas capaian pelanggan melalui platform digital, sekali gus menyokong pembangunan ekonomi komuniti setempat.
Program ini turut mencerminkan peranan mahasiswa sebagai agen perubahan yang peka terhadap keperluan masyarakat serta mampu menggunakan kemahiran komunikasi strategik untuk memberi manfaat kepada komuniti.
Oleh: Aina Farzana Azrul Anuar, Siti Nur Insyiraah Sh Hussin
