NILAI – Ahli StraComm Clique, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) memperlihatkan semangat kesukarelawanan mahasiswa apabila tampil sebagai fasilitator dalam Kem Kembara Ilmu SPM 2026 anjuran Yayasan Munarah yang berlangsung pada 15 hingga 16 Ogos lalu di Palm Hotel, Seremban.
Program tersebut disertai hampir 200 pelajar Tingkatan Lima dari sekolah menengah di bawah kelolaan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kuala Pilah dan memberi pendedahan kepada peserta mengenai teknik menjawab soalan sebagai persediaan menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Pengurus Yayasan Munarah, Amalina Zulkifli berkata, penglibatan StraComm Clique merupakan kesinambungan kepada jalinan kerjasama yang telah terjalin antara USIM dan Yayasan Munarah sebelum ini.
Menurut beliau, kerjasama bersama StraComm Clique banyak membantu melancarkan perjalanan program, khususnya dalam pengumpulan kandungan media serta pengurusan aktiviti peserta.
“Tenaga kerja mahasiswa USIM sepanjang dua hari ini amat membantu melancarkan proses pendaftaran dan aktiviti peserta.
“Urusan seperti mengawal pergerakan dan mengurus peserta dapat dilaksanakan dengan baik, sekali gus memudahkan tugas fasilitator dalam kalangan guru dan penceramah,” katanya.
YAM Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin Ibni Tuanku Muhriz yang hadir menyempurnakan perasmian program turut menyambut baik kerjasama antara Yayasan Munarah, PPD Kuala Pilah dan sukarelawan USIM untuk diteruskan pada masa hadapan.
“Setinggi-tinggi penghargaan saya rakamkan kepada PPD Kuala Pilah, warga pendidik, pasukan Yayasan Munarah dan tidak dilupakan para sukarelawan USIM, StraComm Clique, yang telah bersama-sama berganding bahu menjayakan Kem Kembara Ilmu SPM 2026 ini,” titah baginda.
Melihat komitmen dan kesungguhan yang ditunjukkan oleh ahli StraComm Clique sepanjang program berlangsung, Yayasan Munarah berharap jalinan kerjasama strategik tersebut dapat terus diperkukuh.
Antara program terdekat yang dirancang bagi meneruskan kerjasama bersama USIM ialah Kem Kembara Ilmu Yayasan Munarah Siri Kedua yang dijadualkan berlangsung pada Oktober depan.
Penglibatan StraComm Clique dalam program berkenaan mencerminkan usaha USIM dalam memperkasa mahasiswa sebagai pemangkin perubahan dalam masyarakat, selaras dengan aspirasi universiti untuk melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik, malah mempunyai keprihatinan terhadap kebajikan dan kesejahteraan komuniti.
Oleh: Iqbal Ilyas Mohd Nordin, Muhammad Akmal Zuhdi Che Mohd Zaini, Aina Farzana Azrul Anuar dan Nur Khadija Sulaiman



