NILAI, 5 FEBRUARI 2016 – Sekumpulan mahasiswa Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) daripada Urusetia perlindungan Perubatan Pelajar (U3P) telah menjayakan Program Khidmat Komuniti dan misi mempromosi USIM di Lombok, Indonesia. Seramai 14 orang pelajar dari U3P ini terlibat dalam program Global Islamic Student Outreach (GISO) USIM bermula 28 Januari lalu sehingga 3 Februari 2016.

Program GISO pada kali ini membawakan tema “Program Pengembaraan Usim GISO 2016: Misi Kembara Insaniah Memantapkan Ukhwah Di  Lombok, Indonesia”.

Misi kali ini membawa kolaberasi antara pelajar USIM dengan pihak pengurusan Pondok Pesantren As-Ashohwah yang terletak di Lombok Barat. Antara program yang telah dijalankan program pertukaran budaya masyarakat Malaysia seperti pakaian dan permainan tradisional dan manakala masyarakat di Lombok mempersembahkan tarian kebudayaan masyarakat Lombok seperti Tari Rudat, Tari Kipas, Tari Tempurung, Permainan Raja dan sebagainya.

Program yang berlangsung selama tujuh hari enam malam ini turut memberi peluang kepada para pelajar untuk mengadakan diskusi ilmiah dan sesi memperkenalkan USIM di Universitas Mataram, Lombok (UNRAM) yang dihadiri oleh rektor (Naib Canselor) dan dekan-dekan fakulti UNRAM. Selain itu, satu perbincangan atau diskusi tentang formula melahirkan persekitaran yang sihat di kawasan sekolah turut diadakan di Pejabat Pelajaran Daerah Lombok Barat. Sesi ini turut dihadiri oleh pegawai-pegawai daerah Lombok Barat dan semua guru besar dari sekolah-sekolah seluruh Lombok Barat. Selain dari itu juga rombongan turut mengadakan promosi di pesantren Nurul Bayan dengan mengedarkan pamplet dan tayangan slide berkaitan USIM.

Menurut Ustaz Taysir, mudir Pondok Pesantren As-Shohwah, dengan terbinanya network atau kolaberasi antara Pondok Pesantren dan USIM diharapkan dapat memberi galakan kepada pelajar Pesantren untuk melanjutkan pelajaran di Malaysia pada masa hadapan, khususnya di USIM”. Demikian juga harapan pegawai pengiring rombongan, Puan Jamaah Mohd yang mengharapkan program sedemikian dapat memberi suntikan ilmu yang bermanfaat kepada masyarakat Lombok. Sejajar dengan visi USIM, iaitu integrasi Naqli dan Aqli, program sedemikian menggalakkan para pelajar untuk membantu pihak-pihak yang memerlukan sama ada dari segi masa, tenaga, dan wang ringgit.

Sumbangan berupa bahan bacaan, buku teks, wang tunai dan khidmat tenaga adalah hasil sumbangan dari beberapa pihak dan para pelajar sendiri. Diharapkan program tersebut menjadi platform kepada kedua-dua negara Malaysia dan Indonesia untuk menjadi negara yang peka dan saling membantu.

Disediakan oleh:

Norhafizah binti Zainul Abidin
Urusetia Perlindungan Perubatan Pelajar (U3P)

Dikemaskini oleh:

Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan

Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204