NILAI, 16 JAN 2016 – Kolej Permata Insan menerima kemasukan seramai 65 orang pelajar baharu yang mengikuti pengajian Asas 1 iaitu Tingkatan 1 pada sesi pendaftaran di Kolej Permata Insan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Kesemua pelajar baharu yang berumur 13 tahun ini menjalani minggu taaruf selama tiga hari bermula 16 hingga 19 Januari oleh Majlis Kepimpinan Pelajar (MKP), Kolej PERMATA Insan (KPI). Antara pengisiannya adalah slot bersama guru tasmik, aktiviti sukaneka, sesi bersama felo, latihan dalam kumpulan, perkongsian ilmu bersama PU Zahir yang juga merupakan Alumni Imtiaz Terengganu serta lawatan dalam kampus USIM.

“Kemasukan pelajar baharu melibatkan 43 lelaki dan 22 perempuan adalah dari kalangan pelajar yang telah melepasi Mukhayyam Al Abrar. Ia melibatkan penilaian dari segi hafazan, pembangunan insan, ujian Bahasan Melayu, Bahasa Arab, Bahasa Inggeris, Matematik, Fizik, Kimia dan Biologi. Seterusnya, pelajar ini perlu melepasi had kelayakan yang ditetapkan,” ujar Pengarah Kolej PERMATA Insan, Nik Salida Nik Saleh.

“Jumlah yang mengikuti Mukhayyam adalah seramai 178 orang. Hanya 65 orang sahaja yang berjaya melepasi penilaian yang ketat ini,” tambah Siti Aisyah Mohamed, Pegawai Pentadbiran Pusat PERMATA Insan.

Taklimat mengenai pengenalan Kolej PERMATA Insan telah disampaikan oleh Pn. Nur Fazidah Asmuje, Penyelaras MKP. Pada sesi taklimat itu, pelajar telah didedahkan mengenai latarbelakang Kolej PERMATA Insan, cara belajar dan rutin kehidupan di KPI.

Sementara itu, beberapa slot taklimat lain turut disampaikan oleh tenaga akademik KPI antaranya berkenaan pengurusan kolej kediaman, mengenai pengajian Al-Quran dan hafazan, pengenalan mata pelajaran semester 1, sistem akademik di KPI, taklimat disiplin, sesi motivasi mengenali keupayaan diri serta taklimat kemudahan sukan oleh Pegawai Pusat Sukan USIM.

Pn. Nur Fazidah berkata taklimat itu diadakan bagi menyampaikan maklumat serta pemahaman tentang perkembangan universiti dan KPI serta kemudahan-kemudahan dan perkhidmatan yang disediakan di kampus.

Rata-rata pelajar baharu yang ditemubual menyatakan rasa seronok dan bersemangat untuk belajar di Kolej PERMATA Insan bersama kawan baharu. Keterujaan mereka dapat dilihat apabila memberi respon dan sentiasa bersoal jawab dengan tenaga pengajar KPI semasa sesi taklimat.

Selain berpeluang bertemu dengan Naib Canselor USIM, YBhg. Prof. Dato’ Dr. Musa Ahmad pada hari pendaftaran, pelajar baharu juga berpeluang mengenali Pengurusan Tertinggi USIM lain iaitu Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa, YBhg. Prof. Dr. Zulkiple Abd Ghani yang hadir menutup Minggu Taaruf Pelajar Baharu Asas 1 Kolej PERMATA Insan.

Disediakan oleh:

Syazlyna Jamil
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan

Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204