NILAI, 18 SEPT 2015 – Buat julung kalinya pelajar pintar cerdas Kolej PERMATA Insan seramai 48 orang menerima lawatan daripada  YABhg Datin Paduka Seri Rosmah Mansor pada 17 September bertempat di Kolej PERMATA Insan USIM. Lawatan Datin Paduka disambut baik oleh pelajar serta pengurusan universiti dan pengurusan Kolej PERMATA Insan.

Kolej PERMATA Insan kini ditadbirselia oleh pengurusan dan kakitangan seramai 32 orang iaitu 1 orang pentadbir, 13 orang pensyarah, 7 orang guru tasmi’, 4 orang pegawai dan 7 orang staf sokongan yang diketuai oleh pengarahnya, Dr Nik Salida Suhaila Nik Saleh.

Taklimat telah disampaikan oleh Dr Nik Salida mengenai pencapaian pelajar Kolej PERMATA Insan sebagai ‘Sekolah dalam Kampus’ yang unik dengan kurikulum berkonsepkan integrasi ilmu Naqli dan Aqli dengan empat komponen penting iaitu Modul Pintar Al-Quran dan Sunnah, Modul Bahasa Arab, Modul Bahasa Inggeris dan Modul Pembangunan Insaniah.

“Dalam proses pengajaran dan pembelajaran, Kolej PERMATA Insan menggunakan pendekatan Pembelajaran Abad 21 (21st Century Learning) di mana para pelajar PERMATA Insan didedahkan dan dilatih menggunakan teknologi dalam pembelajaran seperti peranti iPad, Apple TV dan aplikasi pengajaran dan pembelajaran yang banyak tersedia di dalam sistem pengoperasian,” ujar Dr Nik Salida, Pengarah PERMATA Insan.

Kini Kolej PERMATA Insan yang telah menerima surat kelulusan dari Bahagian Pengurusan Sekolah Harian, Kementerian Pendidikan dengan ini secara rasmi telah diterima menjadi Institusi Pendidikan Bantuan Kerajaan (IPBK).

YBhg Prof Dato Dr Musa Ahmad dalam ucapannya menyatakan sumbangan yang diterima melayakkan Kolej PERMATA Insan menerima sumbangan modal dan bantuan penuh bagi menambah infrastruktur pembelajaran dan pengajaran termasuklah bangunan dan perabot yang berkuatkuasa 25 Ogos lalu.

Kurikulum Kolej Permata Insan USIM menggunakan sepenuhnya kurikulum untuk pelajar pintar cerdas sebagaimana yang dilaksanakan oleh Kolej PERMATA pintar UKM  menekankan aspek pengajian Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) adalah selaras dengan matlamat memperkasakan ilmu sains dan teknologi dalam kalangan para pelajar program PERMATA Insan sejajar dengan nic USIM sendiri.

Di akhir lawatan YBhg Datin Paduka melancarkan buletin bual bicara oleh pelajar PERMATA Insan iaitu Abqari  seterusnya mengadakan lawatan tapak pameran yang disediakan oleh pelajar PERMATA Insan.

Disediakan oleh:

Syazlyna Jamil

PUSAT KOMUNIKASI STRATEGIK (STRACOMM)

Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

71800 Nilai, Negeri Sembilan

Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204