NILAI, 25 MEI 2015 – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) hari ini menerima pelajar baharu pra-universiti seramai 910 orang yang mendaftar di Pusat Tamhidi USIM bagi sesi pengambilan akademik 2015/2016. Pendaftaran yang bermula jam 9.00 pagi hingga 3.00 petang bertempat di Dewan Besar USIM berjalan lancar dengan beberapa kaunter khas disediakan oleh Bahagian Pengurusan Akademik, Jabatan Bendahari, Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Pusat Teknologi Maklumat bagi memudahkan para pelajar.
Permohonan melanjutkan pengajian diperingkat Tamhidi USIM atau Matrikulasi/Asasi pada tahun ini menampakkan peningkatan yang baik apabila sebanyak 23,907 permohonan diterima dengan 2,407 permohonan memilih USIM sebagai pilihan pertama. Jumlah ini melebihi tempat yang disediakan iaitu sekitar 1100 tempat sahaja.
USIM yang mula menawarkan pengajian pra-universiti kepada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) melalui penubuhan Pusat Tamhdi pada 2004, telah menawarkan lima program pengajian iaitu Tamhidi Syariah dan Undang-undang; Tamhidi Sains dan Teknologi; Tamhidi Perubatan; Tamhidi Pergigian dan Tamhidi Perakaunan sebagai pilihan.
Sebagai contoh, bagi program Tamhidi Syariah dan Undang-undang sebanyak 718 permohonan sebagai pilihan pertama diterima walaupun kuota disediakan hanya untuk 200 pelajar sahaja.
”Saya amat teruja diterima melanjutkan pengajian ke program Tamhidi Sains dan Teknologi dan akan belajar bersungguh-sungguh untuk mengejar cita-cita sebagai doktor perubatan “ ujar Muhamad Hafizuddin bin Hazaraimi,18, bekas pelajar Sekolah Agama Sultan Mohamad Batu Berendam Melaka.
Bagi Aimi Afiqah Binti Sulaiman, 18, bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Sharifah Rodziah Melaka melahirkan rasa yang amat gembira terpilih menjadi pelajar USIM. “Saya melanjutkan pengajian ke program Tamhidi Perakaunan dan Muamalat . Saya ingin menjadi seorang akauntan dalam masa yang sama ingin belajar dan meningkatkan ilmu agama kerana USIM merupakan universiti Naqli dan Aqli”.
Para pelajar Tamhidi yang mula mendaftar pada hari ini akan mengikuti program Taaruf yang diurusetiakan oleh Bahagiah Hal Ehwal Pelajar selama tiga hari bermula hari ini hingga Rabu. Pengisiaan utama program ini nanti ialah Majlis Lafaz Ikrar Pelajar Baharu Tamhidi bersama YAB Dato’ Seri Utama Mohamad Hj Hasan, Menteri Besar Negeri Sembilan merangkap Menteri Mentor USIM pada Selasa.
Pelajar yang ingin memohon kemasukan ke Tamhidi USIM wajib mengambil mata pelajar Bahasa Arab/Bahasa Arab Tinggi./Bahasa Arab Komunikasi dan dua mata pelajaran Pendidikan Islam diperingkat SPM. Rayuan kemasukan ke program Tamhidi USIM boleh dibuat pada 16 Jun nanti.
Disediakan oleh:
Zaini Othman
PUSAT KOMUNIKASI STRATEGIK (STRACOMM)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan