NILAI – Pada 27 Februari hingga 5 Mac 2014 yang lepas, satu program berbentuk bengkel dan keusahawanan dinamakan sebagai “Sinergi Pengucapan Awam Dan Keusahawanan” yang telah dianjurkan oleh Exco Kepimpinan Dan Pembangunan Modal Insan, dan juga Exco Penjanaan Ekonomi Dan Keusahawanan Nadi Thaqafah Fakulti Pengajian Bahasa Utama bertempat di Fakulti Pengajian Quran Sunnah dan Pusat Tamhidi. Program ini membawakan tiga bengkel yang berbeza iaitu Bengkel Pengucapan Awam, Bengkel Adobe Photoshop, dan Bengkel MUET.

Program ini bertujuan untuk memberi penekanan dan pemantapan Bahasa Inggeris dalam kalangan peserta khususnya melalui perlaksanaan secara teori dan praktikal di samping pembelajaran yang disediakan oleh pihak universiti. Selain itu juga, program ini bertujuan melahirkan mahasiswa dan mahasiswi yang berkebolehan dalam perkara-perkara yang rumit. Dengan pelbagai aktiviti yang dirancang, selain dapat meluaskan pengetahuan, terdapat beberapa kemahiran lain yang dipelajari dan ditekankan terhadap peserta seperti perkongsian dalam kumpulan, kemahiran berfikir secara kreatif, kemahiran menyelesaikan masalah dan kemahiran berkomunikasi.

Program ini dijayakan lagi dengan penampilan istimewa iaitu PU Yusof, Hezry Yasin, Daie Farhan dan Aiman Azlan dalam slot Bengkel Pengucapan Awam. Manakala Bengkel Adobe Photoshop disampaikan oleh Al-Imran Azmi .Ketiga-tiga bengkel mendapat sambutan yang memberangsangkan iaitu seramai 400 orang pelajar.

Lebih menarik lagi pihak penganjur  membuka tapak jualan untuk memberi peluang kepada mahaiswa dan mahasiswi untuk melibatkan diri dalam bidang perniagaan sekaligus belajar bagaimana cara–cara untuk menjana kewangan. Rata-rata peserta yang ditemuramah memberikan komen positif terhadap penganjuran ini malah mencadangkan program seperti  ini diteruskan pada masa akan datang.

Disediakan Oleh:

Norhafizah Binti Abu Hassan

Pelajar Tahun 3, Fakulti Pengajian Bahasa Utama, USIM

Dikemaskini oleh:

Pusat Komunikasi Strategik