NILAI, 1 APRIL 2015 – Pusat Pembangunan dan Pembiayaan Wakaf (PPPW) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) mengambil pendekatan baharu dalam memberi peluang kepada masyarakat untuk melaksanakan amalan berwakaf dalam bentuk tunai melalui pelancaran Potongan Gaji Skim Wakaf Tunai Dana Wakaf Al-Abrar.
Skim ini telah diperkenalkan untuk memudahkan semua kakitangan awam dan swasta untuk menunaikan ibadah wakaf dan dapat menyelesaikan masalah-masalah yang sering berlaku dalam menunaikan ibadah wakaf.
Majlis pelancaran skim potongan gaji wakaf ini telah dirasmikan oleh Prof. Dato’ Dr. Musa Ahmad, Naib Canslelor USIM sebentar tadi di Dewan Besar USIM. Sebagai perintis, skim ini difokuskan kepada kakitangan USIM terlebih dahulu dan akan dikembangkan secara berperingkat-peringkat kepada pihak luar.
Inisiatif yang diambil oleh PPPW ini adalah selari dengan usaha USIM untuk menerajui dan menggalakkan pembiayaan pembangunan wakaf. Melalui PPPW, ia akan menguruskan kutipan dan agihan tabung amanah wakaf USIM berdasarkan keputusan Majlis Wakaf USIM – Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) dan Jawatankuasa Dana Wakaf Al-Abrar.
Dana wakaf yang dikumpulkan ini akan digunakan untuk aktiviti dakwah, pendidikan, penyelidikan, penerbitan, kesihatan, pembangunan pendidikan dan fasiliti kesihatan.
Skim ini terbuka kepada semua kakitangan awam dan swasta yang beragama Islam. Masyarakat bukan Islam juga boleh memberi sumbangan wakaf tunai secara potongan gaji asalkan mereka bersetuju memenuhi syarat dan prosedur ditetapkan.
Penyumbang juga tidak terhad kepada kakitangan syarikat dan agensi di Negeri Sembilan, malah ia terbuka kepada pihak luar untuk memberi sumbangan wakaf tunai secara potongan gaji.
Kerjasama awal USIM-MAINS dalam memanfaatkan pembiayaan dana wakaf adalah menubuhkan Klinik Pakar Kesihatan USIM dan Klinik Hemodialisis di Nilai Square, Bandar Baru Nilai.
Disediakan oleh:
Zaini Othman
PUSAT KOMUNIKASI STRATEGIK (STRACOMM)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan
Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204